Program Keusahawanan Penternakan Ikan Puyu di Kampung Charuk Puting, Temerloh, Tajaan Yayasan CIMB (CIMB Foundation)

Pahang, 12 Mac 2023– Program keusahawanan penternakan ikan puyu telah dianjurkan oleh UiTM Pahang dengan kerjasama Pertubuhan Pondok Perdana Malaysia untuk melatih komuniti setempat berstatus B40 bagi meningkatkan kegiatan ekonomi, menjana pendapatan tambahan, dan kebolehpasaran penduduk di luar bandar. Program ini adalah tajaan sepenuhnya daripada “Community Link Grant-CIMB Foundation” bertajuk: Fish Farming Program for Rural Communities.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Cawangan CIMB Mentakab, Puan Lee Oi Bee, disaksikan oleh Setiausaha Pertubuhan Pondok Perdana Malaysia, Professor Madya Dr. Mohd Hakimi bin Mohd Shafiai. Dr. Hakimi dalam ucapannya telah merakamkan penghargaan kepada UiTM Pahang (selaku perunding) dan Pertubuhan Pondok Perdana Malaysia kerana telah menjayakan program keusahawanan ini.

Program ini dilaksanakan atas inisiatif untuk membantu masyarakat setempat Kampung Charuk Puting dalam meningkatkan dan menambahbaik taraf sosiekonomi majoriti daripada mereka yang menjalankan kerja-kerja kampung demi menyara kelangsungan hidup. Menurut Puan Lee Oi Bee, sejak tahun 2007, terdapat lebih 1000 program yang melibatkan komuniti di seluruh Malaysia telah berjaya dilaksanakan melalui CIMB Foundation.

“Menyumbang semula kepada masyarakat adalah sebahagian daripada jatidiri pihak CIMB,” katanya.

Pihak CIMB juga amat berbesar hati kerana telah dijemput oleh Dr. Nurshahira Ibrahim selaku ketua perunding dari UiTM Pahang untuk bekerjasama dalam program keusahawanan penternakan ikan puyu bagi meningkatkan status ekonomi masyarakat setempat.

Pihak CIMB Foundation telah menyumbang dana sebanyak RM36,000 kepada program keusahawanan perternakan ikan puyu ini. Inisiatif CSR ini juga menyumbangkan ilmu pengetahuan mengenai kaedah penternakan ikan puyu kepada 20 orang peserta terpilih melalui latihan, bimbingan, dan praktikal daripada perunding dan fasilitator dari UiTM Pahang. Para peserta juga akan dibekalkan ilmu keusahawanan dalam kaedah memasarkan hasil ternakan mereka kepada pasaran dan pembeli.

Puan Lee turut menambah bahawa jalinan kerjasama daripada pihak universiti dan NGO dapat menjadi penyumbang utama untuk memperluaskan program peningkatan kerjaya belia, kebolehpasaran belia yang berstruktur dan pelaksanaan dalam jangka masa sederhana panjang. Secara tidak langsung, ini boleh menjadi tulang belakang dalam perintisan dan pembangunan bakat keusahawanan golongan belia B40.