Salam Terakhir Warga Pejabat Pengarah Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM

SHAH ALAM, 31 MAC – Hari ini merupakan hari terakhir bagi YBhg. Profesor Ts. Dr. Aini Jaapar berkhidmat sebagai Pengarah Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM dan akan kembali bertugas ke Kolej Alam Bina.

“Adios to Puan Zarina, Puan Suhaiza, Tuan Haji Muliyadi, Encik Jamri, Encik Zahid, Puan Diana, Encik Yasser, Puan Zarikh, Puan Afzan, Prof. Madya Dr. Asmadi, Puan Siti Noriah, Encik Falex, Puan Nadia, Puan Syahida, Dr. Hasni, Puan Asmawati, Dr Farah, Puan Rohani, Puan Atikah, Puan Thabita dan Puan Nurul. Thank you so much. Mohon sampaikan salam saya kepada semua staf pentadbiran juga mantan koordinator di semua cawangan. You are the best team I have worked with. Alhamdulillah,” katanya yang telah memegang amanah mengetuai PPT UiTM bermula dari tahun 2018.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tenaga pengajar yang telah memberi khidmat bakti kepada pelajar PPT.

“Pensyarah-pensyarah di kampus sebenarnya adalah frontliner, the true heroes yang memastikan para pelajar PPT kita berjaya selama ini. Kalau setakat pelajar mendaftar dalam sistem tapi tanpa kerja keras barisan pensyarah yang bertungkus-lumus memastikan mereka betul-betul faham kenapa mereka perlu berjaya dalam pembelajaran untuk masa depan, maka belum tentu pelajar PPT boleh berjaya. Semangat juang dan tunjuk ajar para pensyarah yang menjaga setiap pelajar seperti anak-anak sendiri tanpa mengira masa, tenaga juga wang ringgit itulah yang membuatkan pelajar PPT berjaya,” jelasnya.

Sementara itu, lantikan Dr. Ani Mazlina Dewi Mohamed sebagai Ketua Unit Akademik PPT juga turut berakhir dan melapor diri semula ke Fakulti Pendidikan berkuat kuasa 1 April 2023.

“Dengan ini, saya memohon maaf kepada semua rakan koordinator dan staf PPT di kampus-kampus cawangan jika ada salah silap dan kelemahan sepanjang saya menjalankan tugas. Terima kasih untuk kerjasama yang diberikan serta ilmu dan pengalaman baru yang saya perolehi di PPT. Didoakan kesejahteraan dan kecemerlangan tuan dan puan dan PPT dalam penstrukturan baharu di bawah Bahagian Pengambilan Pelajar (BPP) nanti,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ts. Syed Harun Said Mohd., Penolong Pendaftar Kanan juga melapor diri di jabatan baharu pada 3 April 2023.

“Saya dengan rendah hati menyusun jari 10 memohon ampun dan maaf sekiranya ada terkasar bahasa dan silap bicara dalam sedar ataupun tidak sedar. Sesunguhnya yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu daripada diri saya. Didoakan Warga PPT dan BPP selepas ini terus maju jaya dan cemerlang. Terima kasih di atas khidmat dan bantuan semua,” ujarnya.

Manakala, Puan Nor Zarina Mohd. Salim, Koordinator PPT UiTM Cawangan Perak, berkongsi ucapan penghargaan mewakili Unit PPT di semua cawangan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Prof, Dr Dewi, Tuan Syed dan staf PPT yang lain. Tiada kata yang dapat digambarkan betapa akrabnya kita dalam satu organisasi merentasi negeri. Sebaknya hati kerana hari ini datang juga. Perpisahan yang meruntun perasaan. In deep of my heart, I will miss all the moment indeed.,” tambahnya.

Jutaan penghargaan dan terima kasih buat semua mantan warga Pejabat Pengarah PPT atas segala kerah usaha, komitmen dan perjuangan dalam mengurus serta mempromosikan program PPT. Kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Program PPT akan diteruskan seperti biasa dan kini di bawah pentadbiran baharu Bahagian Pengambilan Pelajar (BPP) UiTM.

Burung helang terbangnya tinggi,
Hinggap sebentar di pohon jati,
Terima kasih warga Pejabat PPT,
Memberi khidmat sepenuh hati.

Anak itik berenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan,
Khidmat budi tidakkan hilang,
Terus menjadi kenang-kenangan.

Indah nian bulan purnama,
Bintang tujuh datang menerpa,
UiTM Pencetus Pra Diploma,
Melonjak potensi anak muda.