PROGRAM KESEDARAN AWAM “PRESERVING THE WILDLIFE: A LEGACY FOR FUTURE GENERATIONS” BERSAMA MASYARAKAT ORANG ASLI KUALA TERBOL ANJURAN FSG, UiTM CAWANGAN PAHANG DAN JABATAN PERLINDUNGAN HIDUPAN LIAR DAN TAMAN NEGARA (PERHILITAN) RIZAB HIDUPAN LIAR TENGKU HASSANAL

JERANTUT – Pada 21 Oktober 2023 yang lalu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Pahang bersama 81 orang pelajar daripada program AS255 dan AS201, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan program kesedaran awam bersama masyarakat Orang Asli bertempat di Kampung Orang Asli Kuala Terbol, Jerantut, Pahang. Kampung ini menempatkan sejumlah 200 orang masyarakat Orang Asli dan merupakan di antara salah satu kampung yang terletak di dalam kawasan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal. Rizab yang sebelum ini dikenali dengan nama Rizab Hidupan Liar Krau telah ditubuhkan pada tahun 1923 bertujuan untuk melindungi populasi Seladang yang terdapat di dalamnya dan ianya merupakan salah satu rizab terbesar di Semenanjung Malaysia. Selain daripada itu, manfaat sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli dan komuniti setempat juga merupakan antara agenda yang dititikberatkan di dalam penubuhan rizab ini. Justeru, program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar FSG, UiTM Cawangan Pahang berkaitan gaya hidup masyarakat Orang Asli dan juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan rizab ini khususnya terhadap komponen biodiversiti yang terdapat di dalamnya.

Program yang bermula pada pukul 7.30 pagi itu dimulai dengan aktiviti senam pagi yang disertai oleh semua masyarakat Orang Asli, staf PERHILITAN daripada Pos Perlok dan Pos Lompat dan juga pelajar UiTM. Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan perlawanan liga bola sepak yang disertai oleh staf PERHILITAN, beberapa kelab bola sepak Orang Asli dan masyarakat setempat dan juga pelajar FSG, UiTM Cawangan Pahang. Aktiviti sukaneka juga turut dijalankan bagi kanak-kanak Orang Asli berusia di antara lima hingga dua belas tahun.

Usai waktu rehat dan makan tengahari, aktiviti diteruskan pula dengan sesi perkongsian maklumat berkenaan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal yang disampaikan oleh Encik Mohd Happy bin Mohd Noor, Penolong Pengarah Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal. Sesi diskusi dan soal jawab di antara pelajar UiTM bersama staf PERHILITAN dan juga komuniti Orang Asli turut diselitkan di dalam slot ini. Program yang berakhir pada pukul 4.30 petang ini di sudahi dengan sesi penutup yang dimeriahkan dengan persembahan daripada pelajar FSG, UiTM Cawangan Pahang bersama kanak-kanak Orang Asli dan juga penyampaian hadiah kepada para pemenang. Diharapkan aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi membantu meningkatkan kesedaran pelajar dan masyarakat awam untuk bersama-sama memastikan kelestarian sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli terpelihara.

Laporan disediakan oleh Nor Lailatul Wahidah binti Musa, Pensyarah Kanan FSG, UiTM Cawangan Pahang