Bengkel Asas Penghasilan Produk Cenderahati Seramik

SERI ISKANDAR, 18 Oktober 2023 – Dalam usaha untuk memberi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) untuk mengembangkan bakat seni mereka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan “Kursus Asas Penghasilan Cenderahati Seramik” selama lapan hari yang berlangsung dari 25 September hingga 6 Oktober 2023. Kursus yang bertujuan untuk membuka pintu kepada kelestarian seni dan kemahiran kreatif ini telah mendapat sambutan hangat daripada murid berkeperluan pendidikan khas dari sekolah-sekolah sekitar Perak Tengah, di mana seramai 20 orang pelajar menjadi peserta bengkel ini selama 8 hari ia berlangsung.

Kursus ini diterajui oleh pensyarah dan kakitangan pentadbiran UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang seni seramik. Mereka telah menyumbangkan masa dan tenaga mereka untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar-pelajar ini.
Selama lapan hari kursus yang intensif, peserta kursus mempelajari asas-asas bekerja dengan tanah liat, proses membentuk tanah liat, penggunaan warna dan licau, serta proses penghasilan produk akhir. Dalam tempoh kursus, pelajar-pelajar ini telah menerima pengetahuan secara teori dan latihan praktikal yang menyeluruh dan berharga dalam seni seramik.

Kemuncak kursus ini adalah pameran hasil kerja peserta kursus yang diadakan pada hari ke-8, iaitu pada 6 Oktober 2023, di Galeri Al Biruni, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Pameran ini merupakan peluang untuk pelajar-pelajar mempamerkan karya seni mereka kepada komuniti universiti dan orang awam. Hasil kerja mereka, yang telah dihasilkan dengan penuh kesabaran dan kreativiti, telah mengejutkan semua yang hadir.
Encik Mohd Saleh Abdul Wahab, Pengarah Projek Kursus Asas Penghasilan Produk Cenderahati Seramik, berkata, “Saya sangat gembira melihat kesungguhan para peserta kursus dan saya berharap agar , kemahiran yang telah dilatih oleh para fasilitator menjadi ‘eye opener’ kepada semua peserta untuk menceburi bidang seramik dimasa akan datang.”

Kursus ini bukan sahaja memberi peluang untuk belajar dalam bidang seni seramik, tetapi juga menggalakkan perkembangan kemahiran berharga, kreativiti, dan komunikasi. Ia merupakan usaha yang patut dicontohi dalam memupuk minat dalam seni dan memberi peluang yang saksama kepada semua pelajar, termasuk mereka yang berada dalam aliran pendidikan khas.

Untuk masa akan datang, UiTM Cawangan Perak berharap untuk melihat lebih banyak kursus seumpama ini yang memberi peluang kepada golongan yang kurang mendapat perhatian untuk meneroka dan berkembang dalam bidang seni seramik dan seni lain. Pihak UiTM Cawangan Perak juga amat berterima kasih kepada Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang menjadi penaja dan juga rakan kerjasama bagi bengkel ini.