Program Kepimpinan “Camp for Future Leaders” sebagai Platform Pelapis Kepimpinan UiTM

Pada 14 Januari 2023, pelajar bahagian 5 BA118 Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat dari kumpulan BA118 5G telah menganjurkan program “Camp for Future Champ” bertempat di Kem Sri Gading, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Program ini telah melibatkan seramai 50 orang peserta daripada pelbagai latar belakang di kalangan pelajar UiTM Pahang. Majlis telah dirasmikan oleh Puan Mas’udah binti Asmui, Ketua Pusat Pengajian, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Di samping itu, program ini juga telah menjemput Encik Mohd Ikhsan bin Md Raus bagi menyampaikan ceramah bertajuk “Leader Future Champ.”

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang cemerlang daripada pelbagai sudut. Hal ini kerana, untuk menjayakan sesuatu, kita haruslah dipimpin oleh seorang pemimpin yang mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan mampu membuat keputusan yang tepat.

Objektif kedua adalah bagi memenuhi keperluan subjek “organizing event” di mana penganjur bukan sahaja belajar secara teori, tetapi memberi pendedahan dengan pelbagai kemahiran untuk menguruskan majlis. Antara kemahiran tersebut adalah merancang, mengurus, mengatur, berkomunikasi, kerja berpasukan, daya pemikiran kreatif dan mencari jalan penyelesaian kepada satu masalah.

Program-program seperti ini akan diteruskan lagi di masa akan datang supaya UiTM terus menjadi platform dalam melahirkan pemimpin-pemimpin yang akan memacu kemajuan institusi, bangsa, agama dan negara di masa akan datang.