Program Kelestarian Alam: “Small Act Better World”

SHAH ALAM – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati sesi 2022/2023 UiTM Shah Alam telah berjaya menjalankan satu program iaitu “Small Act Better World” di Kolej Melati selama seminggu bermula 11 hingga 17 Jun 2022. Program ini juga telah mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuklah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Program “Small Act Better World” ini merupakan usaha Exco Akademik Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati 2022/2023, Siti Noranisah Zaini bersama Penasihat Program, Puan Nur Idzhainee Hashim sempena menyokong dan meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia yang diadakan pada 5 Jun setiap tahun. Sasaran bagi program ini adalah semua mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi amnya dan di kolej kediaman khususnya di Kolej Melati, UiTM Shah Alam. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam menjaga alam sekitar untuk melestarikan alam daripada terjejas akibat perlakuan manusia yang tidak berharmoni selari dengan mencapai ‘Sustainable Development Goals’ yang ke 3 iaitu “Good Health and Well – Being”.

Pada 11 hingga 16 Jun telah diadakan pertandingan poster dan pertandingan video kreatif bertemakan alam sekitar dan mikroplastik bermatlamat untuk mempertingkatkan tahap kesedaran mahasiswa mahasiswi terhadap isu alam sekitar serta mempertingkatkan tindakan dan penglibatan mereka terhadap sebarang perubahan yang berlaku kepada alam sekitar.

Bersempena meraikan Hari Alam Sekitar, program “Small Act Better World” yang berlangsung selama seminggu telah berjaya dirasmikan oleh Profesor Madya Datin Dr. Arnis Asmat, Pengarah UiTM Green Centre (UGC), Shah Alam dan turut dihadiri oleh Pengetua Kolej Melati, Staf Residen Kolej Melati, Jawatankuasa Kolej Melati, dan wakil dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dalam pada itu memetik satu ucapan perasmian daripada Prof. Madya Datin Dr. Arnis Asmat, beliau menyatakan, “Small Act Better World’ merupakan satu program yang bagus untuk menyedarkan ramai orang berkenaan kelestarian alam sekitar. Setiap usaha yang dilakukan akan memberikan kebaikan kepada alam sekitar dan generasi akan datang. Sebagai contoh, penanaman anak pokok merupakan suatu perkara yang dianggap kecil tetapi dengan satu usaha tersebut kita dapat menyelamatkan bumi ini dengan mungurangkan kadar karbon dioksida yang terlalu banyak dihasilkan pada masa kini.“

Tiga anak pokok bunga Melati (Jasminum Sambac) telah ditanam di landskap Kolej Melati sebagai simbolik kepada nama Kolej Kediaman Melati oleh Profesor Madya Dr. Nor Aizam Adnan (Pengetua Kolej Melati), Profesor Madya Datin Dr. Arnis Asmat (Pengarah UiTM Green Centre, UiTM) dan Encik Mohammad Shafiq Othman (Penolong Pegawai Pentadbir, PKNS).Tambahan lagi, aktiviti penanaman anak pokok di Kolej Melati merupakan tanda sokongan kepada Program Penghijaun Malaysia: Penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025. Sebanyak 50 pokok renek telah disumbangkan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan 5 pokok renek oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi melengkapkan program ini.

Penasihat Program, Puan Nur Idzhainee Hashim berkata: “Bersempena sambutan Hari Bumi Sedunia atau ‘World Earth Day’ yang disambut seluruh dunia setiap tahun, usaha-usaha kesedaran alam sekitar seperti program ‘Small Act Better World’ perlu terus dipergiatkan untuk menggalakkan mahasiswi dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi supaya lebih bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Alam sekitar merupakan anugerah Allah yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan. Kita perlu sentiasa dididik untuk berubah ke arah kehidupan yang membudayakan penjagaan alam sekitar serta memupuk semangat sayangkan khazanah keindahan bumi ini untuk kesejahteraan generasi masa kini dan masa akan datang.”