Program Kacau Bubur Lambuk dan Nasi Briyani Memeriahkan Suasana Ramadhan KPPIM

Sempena bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) telah menjayakan Program Kacau Bubur Lambuk & Nasi Briyani pada 21 Mac 2024 (Khamis) di perkarangan Laman Najib, Kompleks Al-Khawarizmi, KPPIM, UiTM Shah Alam. Tujuan program ini diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara staf KPPIM serta berkongsi rezeki dengan warga UiTM yang lain.

 

Kehadiran staf Pentadbiran dan Akademik yang telah datang seawal jam 8.00 pagi bergotong-royong menyiapkan bahan-bahan bubur lambuk dan nasi briyani ini telah diketuai oleh Dr Noor Zaidi Sahid. Sebanyak lima (5) periuk digunakan bagi memasak bubur lambuk dan nasi briyani telah disiapkan pada jam 1.30 petang. Agihan bubur lambuk telah diberikan kepada staf KPPIM UiTM Puncak Perdana dan KPPIM UiTM Shah Alam. Selain itu, agihan bubur lambuk dipanjangkan ke Pejabat Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Pejabat Penasihat Undang- Undang (PPUU), Pondok Polis Bantuan, staf dan pelajar KPPIM di Kolej Anggerik.

Turut hadir menjayakan program agihan ini adalah Prof. Ts. Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor KPPIM, Encik Mohd Nazrul Mohd Amin, Dekan (HEP), KPPIM, Ts Syed Harun S.Mohd selaku Pengarah Program, dan Saudara Nazri Akmal, Naib Yang Dipertua MPP UiTM. Agihan bubur lambuk selesai pada jam 4.15 petang. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan Program Kacau Bubur Lambuk & Nasi Briyani.