Program Junior Scientist Day 2023

SUNGAI BULOH, 21 DISEMBER 2023 – Program ‘Junior Scientist Day’ edisi ke-7 bertemakan Siasatan atau ‘Crime Scene Investigation’ (CSI) telah berjaya dijalankan pada 19 dan 20 Disember 2023. Program ini telah dianjurkan oleh kakitangan Institut Molekul Perubatan Bioteknologi (IMMB) Fakulti Perubatan UiTM, yang diketuai oleh Dr. Noor Fahitah Abu Hanipah bersama dengan, kakitangan akademik dan bukan akademik serta pelajar pascasiswazah Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA, Kampus Sungai Buloh.

Program ini dirangka selaras dengan inisiatif kerajaan iaitu memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Seni (STEAM). Program ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kolej Seni Kreatif UiTM.

Memilih CSI sebagai tema tahun ini, program ini berjaya mencapai objektifnya iaitu mendedahkan seramai 159 kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun tentang pengetahuan asas berkenaan sains forensik dan mereka dapat mempelajari sains dengan cara yang menyeronokkan. Kanak-kanak yang merupakan para peserta diberi peluang untuk menyelesaikan kes forensik yang mencabar melalui petunjuk yang diperolehi daripada kesemua 8 stesen yang disediakan iaitu stesen Analisis Cap Jari, stesen Entomologi Forensik, stesen Patologi Forensik, stesen Odontologi Forensik, stesen Hematologi, stesen Analisis DNA, dan stesen Forensik Bomba.

Setiap stesen diketuai oleh pakar dari Fakulti Perubatan UiTM, pasukan forensik dari Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Kolej Seni Kreatif UiTM, Fakulti Pergigian UiTM, Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Sepanjang program ini, kanak-kanak diberi peluang untuk mengaplikasikan kebolehan berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan kes yang diberi. Pada tahun ini, kami turut menerima penyertaan istimewa anak-anak yatim dari Teratak Che Dah dan Damai Kuang untuk menyertai program kami.

Selaras dengan visi kerajaan untuk melahirkan generasi penyumbang dalam bidang sains dan teknologi, pasukan kami komited untuk membina masyarakat yang membudayakan sains dalam kehidupan dan membuka pintu peluang dan aspirasi baharu untuk generasi masa depan kita dalam bidang sains.