Program Jom Masuk U Peringkat Zon Tengah Beri Peluang Orang Awam Kenali Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan serta UiTM.

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2023 – Bersempena dengan Program Jom Masuk U, Zon Tengah Anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang berlangsung secara bersemuka di Universiti Malaya, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) , UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam turut bersama dalam menjayakan program tersebut. Program yang berlangsung selama 2 hari itu melibatkan kehadiran orang awam dari seluruh pelusuk negara. Wakil FPHP yang turut hadir bersama adalah Dekan Fakulti, Prof. Madya Dr. Norzuwana Sumarjan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Dr. Ahmad Esa Abd Rahman, Dr. Firdaus Ahmad Fauzi dan Puan Wan Hayati Wan Bujang yang masing-masing mewakili jabatan yang ada di fakulti bagi menerangkan program yang terdapat di fakulti kami.

Program ini adalah peluang yang terbaik bagi pihak fakulti memperkenalkan kepada orang awam tentang program yang sangat menarik yang ditawarkan khususnya kepada Bumiputera di Malaysia. Pelanggan yang singgah dan hadir ke reruai UiTM kebanyakan terdiri daripada pelajar tempatan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Antara program fakulti yang ditawarkan adalah Pengurusan Hotel, Pengurusan Pelancongan, Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Keusahawanan, Pengurusan Seni Kulinari dan Seni Pastri peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

Program tahunan anjuran KPT ini sangat membantu semua IPTA dan IPTS untuk memperkenalkan universiti masing-masing. Seiring dengan objektif universiti untuk meningkatkan ketampakan UiTM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, FPHP turut tidak ketinggalan mendokong objektif tersebut dalam melonjakkan nama UiTM khususnya dengan menhadiri program sebegini. Pihak FPHP dan UiTM berterima kasih dang menucapkan jutaan tahniah kepada pihak penganjur di atas jemputan untuk turut sama dalam menjayakan program akademik sebegini.