Program Jalinan Kerjasama UiTM-Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling (SKUT)

Satu Program Jalinan Kerjasama UiTM-Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling (SKUT) di bawah Geran SDG Lestari UiTM telah diadakan dengan jayanya pada 18-19 Mei 2022 di Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang Darul Makmur. Ahli kumpulan terdiri daripada Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Shah Alam dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Pahang iaitu Dr. Marfiah Ab.Wahid, Dr. Sharifah Abdullah, Dr. Nur Syahiza Zainuddin, Ts. Zulhafizal Othman dan Pn. SitiHawa Rosli.

Geran ini bertujuan untuk mempertingkatkan aktiviti penyelidikan berfokuskan kepada tiga (3) dimensi pembangunan lestari iaitu pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial. Tujuan Projek diadakan adalah untuk membangunkan modul spesifik berkaitan pendidikan alam sekitar menggunakan konsep makmal terbuka, membentuk kolaborasi bersama-sama penduduk dan pemegang taruh, dan meningkatkan ketampakan UiTM sebagai pusat Latihan berkaitan alam sekitar untuk pelajar sekolah.

Mengambil kira kekangan pihak SKUT disebabkan pandemic COVID -19 , beberapa pelaksanaan geran telah dijalankan seperti berikut iaitu menganjurkan pertandingan diorama bagi pelajar sekolah yang terlibat bagi pelajar tahun 3 dan 4, menganjurkan pertandingan lukisan bagi pelajar tahun 1 dan 2, dan melaksanakan modul alam sekitar dan dokumentari projek bagi pelajar tahun 5 dan 6.

Pelajar sekolah telah diberi masa selama lebih kurang sebulan untuk menghasilkan hasilan yang mereka impikan dibantu oleh fasilitator iaitu cikgu SKUT. Aktiviti yang dijalankan bertemakan alam sekitar. Aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan daya kreativiti dan inovatif murid-murid disamping memupuk sikap kerjasama antara ahli kumpulan.

Hasil penilaian secara keseluruhan membolehkan pelajar-pelajar menggabungkan kefahaman mereka kepada aspek kognitif, psikomotor dan afektif. Para peserta, pihak sekolah dan pihak penganjur sangat gembira dan berpuashati dengan program jalinan kerjasama ini. Diharap program seperti ini dapat dijalankan lagi di masa akan datang.