Program Jalinan Kasih : Inisiatif Fisioterapi Melindungi dan Cakna kepada Warga Emas

PULAU PINANG, 13 Jun 2023 – Pada Ahad 11 Jun 2023 telah berlangsung Program Jalinan Kasih Bersama Warga Emas Kariah Pinang Tunggal, anjuran bersama Program Diploma Fisioterapi UiTM, Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam dan Masjid Jamik Al- Abidin, Pinang Tunggal, Pulau Pinang.

Objektif program ini adalah memberikan kesedaran dan pendedahan tentang jatuh dan risiko jatuh dalam kalangan warga emas. Aktiviti sebegini juga membuka peluang kepada 40 orang pelajar Diploma Fisioterapi untuk mempraktiskan cara komunikasi berkesan dan kemahiran fisioterapi di dalam persediaan memberikan rawatan kepada geriatrik. Kesedaran dan pendedahan tentang jatuh ini penting kerana kekerapan jatuh di dalam kalangan warga emas sangat tinggi berikutan dari perubahan fisiologi badan, masalah kesihatan, penyusutan daya ketahanan badan, lemah fizikal dan mental serta kurang keseimbangan badan. Patah tulang disebabkan jatuh dalam kalangan warga emas seharusnya dapat dielakkan dengan memberi pendedahan awal tentang risiko jatuh dan senaman yang sesuai berdasarkan kondisi warga emas.

Program telah dirasmikan oleh Tuan Haji Bahman Jamaluddin selaku Penyelaras Program Diploma Fisioterapi mewakili Encik Amir Heberd Abdullah, Penolong Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam. Pengerusi Masjid Jamik Al- Abidin, Datuk Haji Md Zabidi bin Hj. Ariffin dalam ucapannya sangat berbesar hati dengan pemilihan kariah Masjid Jamik Al Abidin sebagai sasaran utama program Jalinan Kasih tersebut dan mengharapkan program sebegini harus diteruskan kerana banyak manfaat yang diperolehi oleh peserta dan jalinan sosial antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat dipereratkan.

Seramai 60 orang warga emas menerima manfaat daripada program ini yang meliputi ceramah tentang jatuh, senaman ‘chairobik’, dan 10 ujian saringan untuk mengenalpasti risiko jatuh serta tahap kekuatan fizikal dan keseimbangan badan para peserta. Sesi konsultasi bersama pensyarah fisioterapi juga turut diadakan yang menekankan kepada nasihat dan senaman yang sesuai terhadap setiap individu warga emas tersebut.

Malaysia menuju ke arah negara penuaan dengan peningkatan jangka hayat penduduk dan pastinya warga emas adalah menjadi golongan yang wajib diambilberat dan dilindungi oleh setiap individu. Justeru, menjadi tanggungjawab semua terutama yang menjaga dan tinggal bersama warga emas cakna tentang kesihatan fizikal dan mental mereka supaya kualiti kehidupan warga emas berada di tahap yang baik dan tidak menjadi beban kepada masyarakat dan kerajaan.