Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) dengan kerjasama Planter’s Guild, UiTM Pahang telah mengadakan satu program infaq dan iftar bagi meraikan seluruh warga FPA. Program ini yang diberi nama “Program Infaq Iftar Kasih Ramadan” dengan bertemakan “Rezeki Dikongsi, Kasih Bersemi” ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari Khamis, 25 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H bertempat di Dewan Merpati, UiTM Pahang.
Di antara objektif program adalah bagi menggalakkan para pelajar, pensyarah dan kakitangan FPA khususnya dan seluruh komuniti FPA pada amnya untuk bersama-sama beramal dan menghayati bulan Ramadhan sebagai bulan ibadat dan juga bulan kebajikan. Selain itu juga, program ini turut diadakan bagi menyampaikan sumbangan infaq daripada para alumni dan komuniti FPA kepada mahasiswa dan mahasiswi FPA yang kurang bernasib baik.
Program infaq iftar ini telah dimeriahkan oleh seramai 227 orang pelajar FPA, 14 orang pensyarah FPA serta 10 orang kakitangan Unit Pengurusan Ladang, UPL. Program yang berlangsung pada jam 5.30 petang sehingga 9.00 malam ini telah dimuliakan dengan bacaan doa oleh Saudara Muhammad Amirul Adli bin Muhamad Sepian dan seterusnya dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian FPA, Ts. Fazidah bt Rosli.
Di antara agenda lain program adalah Majlis Tadarus Al-Quran yang diketuai oleh Saudara Muhammad Afiq Aiman bin Mohd Azian, penyampaian sumbangan infaq Ramadhan kepada 40 orang pelajar yang kurang berkemampuan oleh Ketua Pusat Pengajian FPA, diikuti dengan majlis iftar, Solat Maghrib berjemaah, bacaan Surah Yasin dan diakhiri dengan Solat Isya’ secara berjemaah.
Adalah diharapkan agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua warga yang terlibat.