76 Anak Yatim Diraikan UiTM Bersama Alumni di Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan

SHAH ALAM, 17 April 2023 – Seramai 76 orang anak yatim dari Akademi Tahfiz Al- Hidayah (ATAH) diraikan dalam satu Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan anjuran Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Alumni bertempat di Dewan Seri Impian, Hotel UiTM, Shah Alam. Objektif utama majlis adalah untuk meningkatkan ukhwah serta mengeratkan silaturrahim antara warga alumni dan UiTM.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Prof. Dr Mohamad Hariri Hj Abdullah turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim tersebut diringi oleh Dr Azlina Affandi, sebagai penasihat akademi. Dr Azlina yang merupakan alumni UiTM dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (tahun 1991) dari Kampus Dungun telah memulakan tugas sebagai sukarelawan di ATAH sejak berusia 22 tahun. Beliau juga merupakan ahli Persatuan Alumni Perniagaan Insurans (API) UiTM.

Prof. Dr Mohamad Hariri dalam ucapan beliau, berharap kekuatan seramai 664,873 alumni dapat bersama universiti boleh memikirkan pendekatan baharu yang sesuai mengikut situasi dan kehendak semasa bagi meringankan beban mereka yang benar-benar memerlukan dan dapat membantu membentuk anak-anak muda menjadi modal insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara

Majlis ini merupakan satu inisiatif Pusat Jaringan Alumni (ANC), ICAN yang menjadi perantara para alumni dengan warga UiTM bagi memastikan ukhwah terus terjalin dalam pelbagai bentuk kolaborasi, kerjasama dan kesepakatan. Selain dari meraikan anak yatim di bawah seliaan alumni UiTM bersempena bulan Ramadan, majlis tersebut turut bertujuan menyebar luas maklumat berkenaan aplikasi MyAlumni UiTM untuk mengemaskini data alumni universiti di samping mengajak para alumni untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Alumni UiTM yang akan diadakan pada 19 Disember 2023 akan datang.

Turut hadir seramai 28 orang Presiden dan Wakil dari 41 persatuan-persatuan alumni yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan mendapat pengesahan UiTM turut hadir di majlis itu.