Program Infaq Buku Sudut Buku Dan Keceriaan Sudut Bacaan Asrama Putra SMK Tengku Kudin, Raub.

Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang telah melaksanakan Program Infaq Buku dan Keceriaan Sudut Bacaan Asrama Putra SMK Tengku Kudin, Raub pada 17 Ogos 2022. Program ini dianjurkan bagi membantu SMK Tengku Kudin, Raub yang merupakan salah satu sekolah angkat Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP) UiTM Pahang untuk menambah bahan bacaan serta menghias sudut bacaan asrama lelaki sekolah tersebut. Program ini juga dirancang untuk membuka peluang kepada pensyarah FPP UiTM Pahang serta staf UiTM Pahang untuk melaksanakan kerja-kerja khidmat masyarakat yang berimpak dan amalan jariah kepada komuniti setempat.

Melalui program ini, pihak fakulti telah berjaya mengumpulkan sebanyak 14 kotak buku hasil sumbangan dari Perpustakaan Al-Bukhari UiTM Pahang, pensyarah serta staf dari UiTM Cawangan Pahang. Buku-buku yang berjaya dikumpulkan itu terdiri daripada buku rujukan sekolah menengah, novel berbahasa Melayu dan Inggeris, buku keagamaan, buku motivasi dan majalah-majalah. Aktiviti pengumpulan buku-buku sumbangan daripada penyumbang telah dimulakan tiga 3 bulan sebelum aktiviti menceriakan sudut bacaan dilakukan.

Disamping itu sumbangan berbentuk barangan perhiasan juga diterima daripada penyumbang bagi menghias sudut bacaan di asrama lelaki SMK Tengku Kudin, Raub seperti permaidani, pokok plastik, gambar dan bantal. Kerja-kerja menghias serta menyusun buku di rak telah dilakukan oleh 9 orang pensyarah FPP UiTM Pahang Kampus Raub pada 17 Ogos 2022 bermula dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 11.00 pagi. Hasil sumbangan daripada pelbagai pihak ini, berjaya untuk menceriakan dan menambah koleksi bahan bacaan di sudut bacaan asrama putra SMK Tengku Kudin. Pihak kami berharap agar sumbangan yang diberikan ini mampu menarik minat pelajar untuk membaca dan membuat rujukan. Kesannya perkara ini mampu untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta meluaskan kosa kata serta penguasaan bahasa pelajar yang dilihat sebagai perkara penting pada masa kini.

Pada masa akan datang, FPP UiTM Pahang merancang untuk melakukan aktiviti motivasi yang melibatkan pelajar FPP UiTM Cawangan Pahang dan pelajar SMK Tengku Kudin.  Melalui program seperti ini, hubungan mesra dan kerjasama yang baik antara warga FPP UiTM Pahang Kampus Raub dan SMK Tengku Kudin dapat diteruskan serta dipertingkatkan.