Program Homework Coaching bersama Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, Perlis

Program Homework Coaching merupakan program kerjasama Persatuan Belia Harmoni UiTM Perlis, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informasi & Matematik (KPPIM) UiTM Perlis dan Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah untuk membantu murid sekolah yang tidak berkemampuan mendapat bimbingan dan sesi coaching akademik secara percuma dan intensif. Program bersifat home-tuisyen secara percuma ini merupakan inisiatif pertama Persatuan Belia Harmoni dalam menggerakkan tenaga kerja mahasiswa UiTM Perlis yang berminat dalam gerak kerja kesukarelawan dalam menyumbang kepada masyarakat. Dalam program ini, mahasiswa akan menjadi fasilitator yang akan membantu murid-murid dalam pembelajaran mengikut subjek yang ditetapkan dan menyiapkan homework dan juga menjawab soalan-soalan dalam buku latihan.

Fasilitator diberi peluang dan bebas untuk menggunakan pelbagai kaedah pendekatan dan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk menarik minat murid selain mewujudkan suasana kondusif untuk murid belajar sambil bermain. Ini bagi mewujudkan suasana pembelajaran secara dua hala dan interaktif yang berbeza dengan pelaksanaan pembelajaran arus perdana yang lebih bersifat sehala. Program ini diadakan secara berkala mengikut kesesuaian dan hasil pencapaian murid akan diukur untuk mengetahui keberkesanan program.

Selain dapat mengukuhkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi melalui aktiviti yang dijalankan, program ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk menonjolkan kemampuan diri secara individu dan berkumpulan serta mengasah kemahiran interpersonal dan intrapersonal masing-masing. Secara keseluruhan program berjalan lancar dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada murid dengan jumlah kehadiran yang sangat menggalakkan.