Program MYSaveFood Ramadan UiTM Perlis

Program MYSaveFood Ramadan UiTM Perlis merupakan Program anjuran Persatuan Belia Harmoni UiTM Perlis dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam(Swcorp). Projek ini merupakan satu inisiatif pengurusan sisa makanan “Food Waste Management” di bazar Ramadan Arau, Perlis secara berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman (yang selamat dimakan/diminum) yang tidak berjaya dijual oleh Peniaga Bazaar. Makanan yang tidak terjual ini akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Sisa makanan merupakan penyumbang utama di tapak pelupusan sampah di samping menjadi penyebab kepada pengeluar gas rumah hijau (GHG) ketiga terbesar di Malaysia.

Antara objektif MySaveFood Ramadan adalah membudayakan satu sistem pengurusan sisa makanan yang efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran sisa makanan yang berlaku dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan juga mengurangkan penghasilan gas metana yang memberi kesan kepada pemanasan global. Mahasiswa juga berpeluang turun ke dalam masyarakat bagi membantu serta cakna tentang pengurusan sisa pepejal dalam penjagaan alam sekitar. Program ini berjalan selama 11 hari bekerja bermula 30 Mac 2023 hingga 11 April 2023 di dalam bulan Ramadan. Setiap hari, jumlah sukarelawan seramai enam hinga lapan orang akan bertugas mengumpul dan mencatat jumlah makanan yang dihantar oleh peniaga kemudian kesemua makanan tersebut akan diagihkan kepada mahasiwa yang memerlukan di Masjid An-Nur, UiTM Cawangan Perlis. Sepanjang program dijalankan, sebanyak 90.456 kilogram minuman dan 84.803kg makanan juadah iftar yang masih boleh dimakan berjaya diselamatkan daripada dibazirkan sebagai sisa makanan. Semoga Program MYSaveFood Ramadan ini dapat terus dijalankan lagi pada masa akan datang.