Program “Hikayat Pahlawan Silam”

Pada 6 Januari 2024 yang lalu, telah berlangsung Program “Hikayat Pahlawan Silam” anjuran kumpulan pelajar BA1185B yang merupakan pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA118), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang.  Program yang dihadiri oleh seramai lebih dari 180 orang pelajar UiTM Cawangan Pahang dari pelbagai fakulti dan pusat pengajian, telah diadakan di Dewan Al-Biruni 1, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka dari jam 8:30 pagi sehingga jam 2:00 petang. Program ini telah dipengerusikan oleh Yang Berusaha Puan Mas’udah binti Asmui selaku Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

Program telah dimulakan dengan mengalu-alukan kehadiran penceramah jemputan program, Tuan Haji Mohd Almahadi bin Haji Abu Bakar, yang merupakan cucu Pahlawan Melayu Silam, Mat Kilau.   Beliau yang juga merupakan seorang Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Padang Garuda, Kuantan telah berkongsi pandangan beliau tentang perjuangan pahlawan silam serta berkongsi pengalaman dan cerita peribadi beliau sebagai ahli keluarga terdekat yang pernah tinggal serumah bersama-sama dengan Pahlawan Melayu Silam Mat Kilau ketika beliau masih kecil.  Program yang telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Puan Mas’udah binti Asmui telah menarik perhatian kesemua peserta program sepanjang program berlangsung kerana turut diselitkan dengan persembahan silat gayung, persembahan tarian klasik melayu serta persembahan teater “Hikayat Pahlawan Silam” dari ahli Kelab Estetika dan Budaya UiTM Cawangan Pahang.

Selain dari memenuhi keperluan kursus Pengurusan Acara (OBM310), Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, program ini turut diadakan dengan tujuan untuk memupuk nilai-nilai patriotisme, kesetiaan dan keberanian di kalangan anak muda. Sesuai dengan matlamat UiTM di dalam menyediakan Pendidikan Yang Berkualiti dan Berterusan (SDG 4), sesi ceramah serta perkongsian pengalaman yang disampaikan oleh penceramah jemputan memberi peluang kepada anak-anak muda untuk memahami pengorbanan dan perjuangan yang dilakukan oleh pahlawan melayu negara suatu ketika dahulu.

Usaha pihak penganjur yang mengalakkan para peserta untuk hadir dengan berpakaian tradisional turut mendapat pujian dan sambutan dari para peserta kerana memberi mereka peluang sama-sama menghidupkan elemen suasana budaya Melayu yang diterapkan di sepanjang program berlangsung. Walaupun program ini turut melibatkan kehadiran pegawai penilai program bagi menilai semua aspek pengurusan majlis oleh pihak penganjur di sepanjang majlis berlangsung, para peserta yang hadir tidak merasa terganggu kerana program ini berjalan dengan lancar dan teratur dan berjaya mencapai objektif utama penganjuran program. Antara cadangan peserta yang sempat ditemubual semasa program berlangsung, mereka mengharapkan agar program yang seumpamanya boleh diadakan lagi dengan mengetengahkan lebih ramai lagi tokoh pahlawan melayu silam yang telah diputarbelitkan kisah perjuangan mereka oleh pihak penjajah supaya anak-anak muda faham tentang sejarah silam dan seterusnya lebih menghargai erti kemerdekaan yang sedang dikecapi sekarang.