Sebuah program forum bertajuk ‘Business Talk: The Truth about Running a Business’ telah berlangsung dengan jayanya pada 3 Julai 2021 yang lalu. Program anjuran oleh Civil Engineering Student Society (CESS) dengan Kerjasama Persatuan Usahawan Muda, UiTM Cawangan Pahang telah diadakan secara atas talian melalui medium ‘Google Meet’ dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran peserta hampir 100 orang yang terdiri dari kalangan para pelajar serta pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), UiTM Cawangan Pahang.
Seramai dua orang panel yang telah dijemput bagi menjayakan program ini iaitu Encik Mohd Faris bin Abdul Salim selaku pengasas dan ketua pegawai eksekutif kepada syarikat Nuha Food Sdn Bhd. Syarikat beliau telah terlibat dengan proses perusahaan makanan selama 8 tahun di bawah jenama NUHA yang kini telah menembusi pasaran antarabangsa. Manakala, Encik Wan Ahmad Asy-Syafi’e bin Wan Abdullatif yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif dengan pencapaian sebagai ‘Top Stokist’ dan ‘Top Leader’ dalam tempoh yang singkat sebagai pengedar produk Chocojar keluaran AB Asia Sdn Bhd.
Program yang bermula pada 8.30 malam, dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Amirul Syahmi, kemudian diikuti dengan ucapan kata aluan oleh Ketua Pusat Pengajian FKA, Sr. Mohd Razmi bin Zainuddin. Seterusnya, program telah diserahkan kepada moderator program iaitu Saudara Wan Tirmidzi selaku Exco Akademik CESS untuk mengendalikan agenda forum yang selanjutnya. Forum tersebut telah terbahagi kepada 5 pusingan perbincangan dengan beberapa tema yang telah diperincikan merangkumi dan tidak terhad kepada; (1) tips spermulaan dalam perniagaan, (2) tips mengekalkan momentum dalam perniagaan, (3) tips mengatasi permasalahan dalam perniagaan, (4) tips membina personaliti dan ‘branding’ serta, (5) tips kaedah pemasaran dalam perniagaan. Seterusnya, sesi soal jawab telah berlangsung dengan rancak selama 45 minit dengan beberapa soalan diajukan dari kalangan peserta kepada panel jemputan. Di penghujung program, sesi bergambar secara maya diambil sebagai kenangan sebelum tamatnya program pada jam 10.50 malam.
Melalui sesi forum tersebut, mahasiswa telah didedahkan dengan ilmu-ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Selain daripada itu, realiti sebenar sebagai usahawan yang juga menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar turut dititiberatkan untuk menggalakkan sifat keusahawanan di kalangan mahasiswa. Tambahan, motivasi dan kata semangat turut disemarakkan oleh panel jemputan bagi meningkatkan keyakinan diri pelajar serta bersifat positif dalam apa jua keadaan.
Program berbentuk forum sebegini dilihat dapat memberi faedah dan manfaat kepada semua yang terlibat serta dapat membantu mahasiswa mengorak langkah dalam bidang keusahawanan sebagai usahawan yang berjaya dan berkaliber pada masa akan datang.