Program Webinar Prestasi Kekal Semasa Lockdown

 

Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang merangkumi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar termasuk daripada 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Justeru itu, bagi menyahut matlamat PBB ini, untuk bidang SDG 1,2, 3 dan 4 iaitu menghapus kemiskinan, mengakhiri kelaparan, kesihatan yang baik dan kesejahteraan dan pendidikan bermutu, Tanah Merah Archery telah mengadakan satu sesi webinar yang bertajuk ‘Prestasi Kekal Semasa Lockdown’ dengan menjemput Dr Mohamad Azmi bin Nias Ahmad, Ketua Pusat Pengajian Perakaunan UiTM Pahang, yang juga merupakan Presiden Memanah Negeri Pahang sebagai salah seorang ahli panel jemputan.

Diadakan pada 10 Julai 2021, webinar ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh ahli panel untuk anjakan prestasi bagi pemanah-pemanah Pusat Latihan Negeri dan Pusat Latihan Daerah Negeri Kelantan selain daripada usaha untuk mencari dana (hasil daripada sumbangan saguhati kesemua panel penceramah) bagi membantu pemanah-pemanah Kelantan yang kebanyakan daripada mereka adalah di kalangan B40 yang memerlukan bantuan makanan dan kewangan untuk kelangsungan hidup. Webinar ini telah menggunakan platform facebook live yang telah mendapat sebanyak 512 view. Di samping itu, program ini telah berjaya membantu Fakulti Perakaunan memenuhi PI 85 – Number of Knowledge Transfer Programmes (KTP) melalui perkongsian kepakaran daripada Dr Mohamad Azmi yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan sukan memanah di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Webinar yang telah diadakan bermula pada jam 9 malam ini membincangkan formula untuk berjaya, matlamat asas untuk mencapai kejayaan, teknik latihan di rumah, penyelenggaran peralatan, tips menangani target panic dan bagaimana mengekalkan prestasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Penganjuran program ini dapat memberikan faedah dan kebaikan terhadap komuniti serta masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup, di samping meningkatkan dan mempromosikan tahap kesihatan yang baik dan kesejahteraan selari dengan Pelan Strategik Universiti.

Sesi ini boleh dilayari di https://www.facebook.com/104692544482892/videos/496623231642118