ESI & I-DART 2021 – UiTM Kampus Puncak Alam

10 Julai 2021: Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam buat julung kalinya telah menjalankan sebuah program yang bertajuk ESI dan I-DART di platform Microsoft Teams. Seramai 95 orang peserta yang terdiri daripada wakil dari setiap persatuan dalaman termasuklah persatuan LENSA dan SMF dijemput hadir ke program ini yang dimulakan seawal jam 9.30 pagi. Program ini telah menjemput Prof. Madya Dr. Hajah Zuraeda Ibrahim iaitu Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Shah Alam, Selangor untuk menyampaikan ceramah ESI dan I-DART.

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan dan memupuk nilai ESI iaitu akronim bagi Excellence, Synergy & Integrity dalam berorganisasi sekaligus memupuk nilai I-DART iaitu akronim bagi Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab dalam diri mahasiswa. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membentuk mahasiswa yang profesional dan berkualiti dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan dalam kehidupan seharian khususnya semasa dalam sesi pembelajaran akademik ketika pandemik ini.

Pengisian program ESI dan I-DART ini adalah berkisar tentang pembudayaan nilai-nilai pada ESI dan I-DART yang perlu difahami oleh mahasiswa untuk dipraktikkan dalam menyiapkan tugasan kerja. Sesi ceramah selama satu jam ini juga mengandungi aktiviti yang menarik bersama mahasiswa. Selepas itu, 15 minit sesi soal jawab dimanfaatkan oleh mahasiswa untuk bertanya soalan kepada penceramah mengenai ESI dan I-DART. Penceramah juga telah menyentuh kesan-kesan negatif yang akan berlaku jika individu atau sesebuah kumpulan tidak menggunakan nilai-nilai ESI dan I-DART dengan betul supaya para mahasiswa cakna tentang pentingnya pendidikan ESI dan I-DART.

Dengan berlangsungya program ini, mahasiswa berpeluang untuk mengatur strategi bagi mencapai nilai positif dari ESI dan I-DART agar dapat melaksanakan tugasan akademik dengan penuh berdedikasi. Justeru, diharapkan program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang agar lebih ramai mahasiswa mampu berdepan dengan pelbagai situasi semasa norma baharu.