Program Bual Bicara Budaya Serumpun : Perbandingan Pendidikan Tinggi Pasca Covid-19 Bersama Rektor Polikteknik Negeri Mediun Indonesia

Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Zamrud/Baiduri, UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan satu program Bual Bicara Bersama M. Fajar Subhan, Rektor Politeknik Negeri Madiun, Indonesia seperti berikut ;

  • Tarikh : 12 Januari 2023 (Khamis)
  • Masa : 8.00 pm – 10.30 pm
  • Lokasi : Dewan Kuliah 1, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

Program bual bicara ini yang mengupas berkaitan Budaya Serumpun: Perbandingan Pendidikan Tinggi Pasca COVID-19 di Indonesia dan Malaysia; bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk memahami budaya serumpun antara negara Malaysia dan Indonesia terutama berkaitan Pendidikan Tinggi Pasca COVID-19 dan diharap dapat melahirkan pemimpin pelajar yang peka terhadap perubahan persekitaran semasa yang berlaku diperingkat global.

Turut hadir dalam program Bual Bicara Antarabangsa ini ialah Prof. Madya Dr. Badrul Bin Isa, Timbalan Rektor (HEP), UiTM Cawangan Selangor dan Prof. Madya Dr. Sabainah Binti Bachok, Pengetua Kolej Zamrud/Baiduri/Raflesia, UiTM Cawangan Selangor dan Staf Residen Kolej Zamrud dan Baiduri. Disamping itu, enam delegasi dari Politeknik Negeri Madiun, Indonesia juga turut hadir bagi tujuan libatsama dan sesi suai kenal bersama para peserta yang terdiri dari Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan para pelajar Kolej Zamrud dan Baiduri, UiTM Cawangan Selangor.

Program dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Kebangsaan Indonesia, Lagu Wawasan Setia Warga UiTM dan diiringi dengan bacaan doa. Program ini dibahagikan kepada slot bual bicara serta sesi soal jawab di penghujung program yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Zamrud dan Baiduri.  Sesi pertukaran cenderahati dari pihak Kolej Zamrud/Baiduri, UiTM Cawangan Selangor dan Politeknik Negeri Mediun Indonesia dan sesi bergambar bersama peserta program mengakhiri Program Bual Bicara tersebut. Sekalung tahniah diucapkan kepada semua Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Zamrud/Baiduri yang berjaya melaksanakan Program Bual Bicara ini secara bersemuka dan semoga berjumpa di program lain yang akan datang.