Program Bersama Warga PPPG: Transisi “Online Distance Learning (Odl) To Traditional Face-To-Face”

12 November 2022 – Telah berlangsung Program Bersama Warga PPPG: Transisi “Online Distance Learning (ODL) to Traditional Face-to-Face” anjuran Jawatankuasa Pemantapan dan Pembangunan Akademik (JPPA), Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dengan kerjasama Office Management Society Association (OMSA) yang telah diadakan bermula jam 7:00 pagi bertempat di Lobi Bangunan Leucaena (Fast Track) dan Dewan Indera Segara, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka sehingga 1:00 tengah hari.

Program Bersama Warga PPPG: Transisi “Online Distance Learning (ODL) to Traditional Face-to-Face” adalah merupakan kesinambungan daripada program Taklimat Bersama Penasihat Akademik (PA) yang telah dilaksanakan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) pada setiap semester untuk memperkenalkan penasihat akademik bagi setiap pelajar dari program Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat (BA132) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (BA232) yang baru mendaftar di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Program ini terus dilaksanakan pada semester Oktober 2022 – Februari 2023 bertemakan transisi perubahan daripada pembelajaran secara ODL kepada pembelajaran secara bersemuka. Pemilihan tema ini dibuat mengambil kira keadaan semasa yang mana 100 peratus pelajar telah mula kembali ke kampus dan mengikuti kuliah secara bersemuka pada semester Oktober 2022 – Februari 2023.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memastikan para pelajar baharu program Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat (BA132) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (Kepujian) (BA232) yang sebelum ini menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dapat menyesuaikan diri dan merasai pengalaman belajar secara bersemuka dengan pensyarah. Program bersama Warga PPPG ini dilihat sangat penting kerana ia merupakan satu saluran yang membolehkan Penasihat Akademik dan pelajar berinteraksi dan mengenali dengan lebih dekat di antara satu sama lain. Pelbagai maklumat penting berkaitan dengan pembelajaran telah dikongsikan oleh Penasihat Akademik kepada pelajar baharu semasa sesi pelajar bersama Penasihat Akademik. Program ini juga diadakan dengan tujuan memberi peluang dan ruang kepada para pelajar untuk berinteraksi bersama-sama dengan para pensyarah, wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar serta wakil daripada Jawatankuasa Perwakilan Kolej. Selain daripada itu, program ini juga diadakan bertepatan dengan usaha Pusat Pengajian untuk memperkenalkan pelajar baharu BA132 dan BA232 dengan pihak-pihak yang berkepentingan di dalam Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan yang mana pelajar boleh menjadikan rujukan dalam mendapatkan informasi yang tepat di masa akan datang.

Program yang melibatkan 342 orang pelajar baharu yang terdiri daripada 270 orang pelajar baharu program BA132 dan 72 orang pelajar baharu program BA232 dimulakan dengan aktiviti senamrobik pada jam 7:00 pagi di Lobi Bangunan Leucaena (Fast Track). Program yang dibantu oleh 30 orang fasilitator di kalangan Jawatankuasa OMSA diteruskan dengan aktiviti Campus Tour bagi memperkenalkan para pelajar dengan bangunan-bangunan yang ada di sekeliling kampus. Pelajar seterusnya berkumpul di Dewan Indera Segara untuk memenuhi beberapa sesi yang telah dirancangkan iaitu Sesi Pengenalan Diri Pensyarah PPPG, Pengenalan Wakil Majlis Perwakilan Pelajar, Pengenalan Jawatankuasa Perwakilan Kolej, Pengenalan Sekretariat Perwakilan Kolej, Pengenalan Jawatankuasa OMSA dan seterusnya sesi memperkenalkan wakil kelas bagi pelajar baharu program BA132 dan BA232. Tentatif program kemudiannya diteruskan dengan sesi Motivasi Transisi “Online Distance Learning (ODL) to Traditional Face-to-Face” yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Azizul Sulaiman, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Program seterusnya diakhiri dengan sesi Taklimat pelajar baharu program BA132 dan BA232 bersama Penasihat Akademik masing-masing.
Diharapkan dengan hasil program ini dapat menjadikan para pelajar baharu program BA132 dan BA232 akan lebih bersemangat dan bersedia dalam menerokai pengalaman belajar secara bersemuka pada semester Oktober 2022 – Februari 2023 dan semester yang seterusnya.