Program Anti Kemiskinan: Bengkel Keusahawanan Digital dan Bengkel Pengurusan Kewangan Wanita B40 Sekitar Wilayah Jengka.

Pada 20 Januari 2024 yang lepas, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Pahang dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Pahang Jengka (MUIP) dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah menganjurkan dua buah bengkel yang bertujuan membantu para wanita B40 sekitar Wilayah Jengka untuk keluar dari tampok kemiskinan dengan mengajar dan melatih mereka teknik perniagaan atas talian. Program ini adalah di bawah tajaan geran komuniti impak yang bertujuan untuk membantu pembangunan penduduk setempat. Kedua-dua buah bengkel ini diadakan satu hari iaitu Sabtu bagi memudahkan peserta menyertai bengkel ini. Ini adalah kerana peserta adalah terdiri daripada wanita berkeluarga dan bekerja namun menjalankan perniagaan secara sambilan bagi menampung keperluan isirumah yang tidak mencukupi.  Senarai nama peserta adalah senarai asnaf yang dikeluarkan oleh pihak MUIP Jengka.

 

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, di sebalik seorang wanita yang lemah lembut, ada antara mereka terpaksa melakukan 3 jenis pekerjaan sehari demi kelangsungan hidup. Majoriti wanita ini juga menjadi usahawan menjual produk dan servis secara kecil-kecilan namun tidak pandai mengkomersialkan untuk meraih jualan yang lebih tinggi. Kekangan masa dan faktor ilmu digital yang rendah antara sebab mereka masih di takuk lama. Program Keusahawanan Digital ini bertujuan membantu peserta untuk memahami teknik pemasaran digital dan mengesyorkan produk jualan mereka dipasarkan melalui aplikasi tik tok. Teknik dan prosedur ini disampaikan oleh Puan Rohani Jab pengasas Kopi Anggun anak jati Felda Jengka. Beliau adalah seorang usahawan yang mantap yang berjaya keluar dari kemiskinan apabila kopi jualan beliau meraih jutaan ringgit dengan mempromosikan produk beliau di platform maya. Beliau dibantu oleh dua orang fasilitator Puan Sanisah Mahidin dan Puan Nurulfaizatuakmar Jab yang turut membantu peserta semasa bengkel ini berlangsung. Pengalaman dan ilmu yang dikongsikan oleh Puan Rohani dan para fasilitator mendapat sambutan yang menggalakkan apabila 9 orang peserta ini berjaya membuka akaun tiktok dan membuat ‘live’ mempromosikan produk dan servis mereka. Diharap para peserta akan lebih tekun menggunakan kaedah ini dan memahirkan diri dengan ilmu yang telah disampaikan.

Adalah tidak lengkap apabila sekadar mempromosikan jualan tanpa ada bimbingan pengurusan kewangan. Justeru, satu program sambungan dari bengkel pertama diadakan di sebelah petang untuk peserta mengetahui bagaimana menguruskan kewangan jualan mahupun kewangan peribadi agar tidak berlaku ketirisan dan kesilapan merekod kewangan serta jualan dengan lebih sistematik. Ilmu yang paling kurang mahir di kalangan peniaga namun dipermudahkan oleh penceramah inovasi kewangan iaitu Puan Norlaila Md Din dibantu oleh fasilitator Puan Junaidah Jamaluddin dari Fakulti Perakaunan UiTM Pahang. Para peserta dibekalkan dengan beberapa nota dan formula mudah untuk merekod asas kewangan di lejer yang dibekalkan. Sambutan peserta amat memberangsangkan dan menunjukkan minat kerana ada antara mereka yang baru tahu cara merekod dan memudahkan mereka untuk mengira stok. Para peserta amat berterima kasih dan memberi maklumbalas yang sangat positif terhadap penganjur dan penceramah jemputan dan berharap program seperti ini dapat diadakan lagi bagi membantu mereka memahirkan ilmu pemasaran digital yang kian mencabar.

Program ini diperkemaskan dan dibantu oleh krew yang gigih memastikan semuanya berjalan dengan lancar iaitu krew Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Pahang dibantu oleh pegawai dari Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Cik Noridayu Idris. Diharap penganjuran program seperti ini dengan kerjasama pelbagai agensi dapat mengeratkan ukhwah di masa akan datang demi pembangunan ummah, memantapkan ekonomi negara dengan usahawan yang celik IT dan membantu kerajaan memerangi kemiskinan.