Program ‘1st KAB Summer School’ (Sekolah Musim Panas) di Kolej Pengajian Alam Bina, Kukuhkan Kerjasama Pendidikan Tinggi Malaysia-Indonesia

Menjelang tahun 2025, UiTM berhasrat untuk membangunkan reputasi antarabangsa sebagai institusi terkemuka dalam bidang pengajian tinggi. Tiga (3) Tonggak Strategik iaitu Pendidikan Berkualiti, Keunggulan di Persada Global, dan Prestasi Berteraskan Nilai menjadi asas bagi metodologi ini. Setiap tonggak strategik ini berkait rapat dengan Tema Strategik yang diiktiraf untuk memastikan matlamat yang dikehendaki tercapai.

Selaras dengan matlamat UiTM untuk melahirkan para profesional yang berkualiti, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) telah menjalin hubungan dengan pelbagai rakan institusi bagi memperluas rangkaian kerjasama demi menghasilkan program-program yang berimpak tinggi.

Sehubungan dengan itu, KAB telah mengambil inisiatif menjadi tuan rumah kepada program sekolah musim panas (Summer School). 1st KAB Summer School, (KABSS) merupakan hasil daripada kerjasama erat antara KAB dibawah kelolaan Pengajian Pembinaan bersama Konsorsium Pengajian Tinggi dan Cendikiawan Nusantara (KPTCN). Program ini berlangsung dari 22 Ogos hingga 10 September 2023 di sekitar KAB mencakupi pelbagai aktiviti yang merangkumi seminar, aktiviti luar kampus, penyeliaan, konsultansi, dan perbentangan selama tempoh 20 hari.

Melalui kerjasama erat bersama KPTCN, sebuah delegasi dari 13 universiti ternama di Indonesia, seramai 73 pelajar telah dipilih menyertai program ini. 71 daripadanya merupakan pelajar siswazah dan 2 pelajar pasca siswazah. Selain berpeluang belajar di Malaysia, pelajar juga boleh memperolehi 2 pindahan mata kredit bagi mata pelajaran “Research Method” dan “Statistic.” di universiti masing-masing.

Selain dari itu, program ini berjaya menghasikan 18 kertas persidangan yang akan dibentangkan di Universiti Malang, Indonesia, pada hujung bulan September 2023. Ini adalah satu pencapaian penting dalam memupuk budaya penyelidikan dan perkongsian ilmu di kalangan peserta. Program ini juga telah menghasilkan 3 kertas cadangan melalui geran padanan antara Malaysia- Indonesia yang akan menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Dalam memperkukuh kerjasama UiTM di peringkat antarabangsa, program ini telah memeterai 13 Memorandum of Agreement (MOA). KABSS adalah hasil pentingnya sinergi Kolej Pengajian Alam Bina, bersama Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Fakulti Undang-Undang, dan Fakulti Pengurusan Maklumat. Kerjasama ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman peserta, tetapi juga menyumbang kepada kejayaan keseluruhan program.

Program KABSS adalah satu contoh terbaik bagaimana pendidikan tinggi boleh menjadi penggerak utama dalam meningkatkan kerjasama antarabangsa terutama dalam memperkukuh hubungan dua hala. Selain berpeluang untuk melakukan pertukaran ilmu, budaya, dan pengetahuan, KABSS mampu meletakkan UiTM unggul di persada global.