Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman Dilantik Sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UiTM Yang Baharu

SHAH ALAM, 1 MAC 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini telah menerima perlantikan YBhg. Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman, Profesor Kanan Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu berkuatkuasa 1 Mac 2022.

Prof. Datin Dr. Suzana dilantik mengisi jawatan tersebut bagi menggantikan YBhg. Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor yang telah dilantik sebagai Naib Canselor UiTM.

Beliau merupakan seorang ahli akademik yang memiliki akreditasi profesional serta sangat berkredibiliti dalam bidangnya. Prof. Datin Dr. Suzana banyak bergiat aktif dalam penyelidikan dan konsultasi. Beliau merupakan seorang ahli majlis MIA dan ahli Lembaga Penyelidikan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) UK dan adalah ahli akademik yang pertama dilantik dari Asia. Pada tahun lepas, pencapaian terbaik beliau ialah apabila CIMA UK Research Excellence Award 2021 telah menyampaikan dua anugerah iaitu “Outstanding Contribution in Malaysia” dan “Regional Champion (Asia Pasific) CIMA Coursework Teaching”.

Perjalanan pendidikan tinggi Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman bermula dengan memperoleh Diploma Perakaunan dari ITM (kemudiannya UiTM) dan selepas itu menyambung pembelajarannya di CIMA, London United Kingdom. Beliau mula berkhidmat sebagai pensyarah di UiTM pada tahun 1991 setelah dianugerahkan Master in Accountancy (with Distinction) dari Curtin University of Technology, Perth, Australia. Pada tahun 1997, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di Universiti Edinburgh, Scotland, England dalam bidang pengkhususan Pengurusan Perakaunan dan berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh 2 tahun sembilan bulan.

Pepatah ada berkata “Jauh berjalan banyak pemandangan, lama hidup banyak dirasa”. Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam akademik, di samping memegang beberapa jawatan pentadbiran universiti sebagai Penolong Naib Canselor di Institut Kepimpinan & Pengurusan Kualiti (iLQAM) serta PNC Institut Kualiti & Perkembangan Ilmu (InQKA); Ketua Pusat Penyelidikan Perakaunan Pengurusan Asia (AMARC), dan Timbalan Dekan (Akademik), Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI).

Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman juga merupakan seorang akauntan bertauliah dari Fellow Chartered Management Accountant (FCMA), UK, ahli Chartered Global Management Accountant (CGMA) dan Chartered Accountant (CA), Malaysia Institute of Accountants (MIA). Beliau sentiasa menerima pelawaan dan undangan sebagai penceramah oleh organisasi luar seperti Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Pusat Pembangunan Profesional (IPNCPD), Institut Perakaunan Negara, CIMA Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), MIA dan Shell Brunei. Beliau juga adalah salah seorang Pengarah Bebas Bukan Eksekutif (Independent Non-Executive Director), Destini Berhad dan Pengerusi untuk dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Audit dan Jawatankuasa Risiko.

Sementara itu, Datuk Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor melahirkan rasa berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas perlantikan Prof. Datin Dr. Suzana sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UiTM. Beliau berkata, perlantikan ini amat tepat dan percaya Prof. Datin. Dr. Suzana Sulaiman dapat membantu pihak universiti dalam meningkatkan dan memperkasa agenda akademik dan antarabangsa melalui penyelidikan, inovasi, melebar luas jaringan industri, komuniti dan alumni sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM dalam mencapai visi bersama ke arah GRU2025.