Pejabat Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah menganjurkan pertandingan “PraDip VideoChem Competition 2022” bagi pelajar Pra-Diploma Stem A dan Stem C sesi semester Oktober 2022 – Februari 2023. Objektif pertandingan ini adalah untuk menarik minat pelajar pra-diploma dalam bidang sains terutama subjek kimia. Disamping itu, program ini dapat menggalakkan pelajar untuk menerokai sains kimia dengan lebih kreatif menerusi penghasilan video pendek.
Pelajar diberi kebebasan untuk memilih tajuk video yang berkaitan dengan sains kimia dan mereka diberi masa selama tujuh minggu untuk menghantar penyertaan pertandingan. Para pelajar sentiasa mendapat bimbingan daripada pensyarah mengajar selama tempoh yang diberikan. Seramai 108 pelajar daripada 122 orang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan kesemua hasil video dimuat naik di dalam saluran YouTube masing-masing untuk dinilai. Turut menjayakan program ini adalah seramai 36 orang juri dari pelbagai kampus UiTM yang bekerjasama untuk menilai video yang dihasilkan.
Seterusnya, majlis penutup program telah dilaksanakan pada minggu “Week Without Wall, (WWW)” iaitu pada 7 Disember 2022. Majlis telah dirasmikan oleh Koordinator Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar, PM. Ts. ChM. Dr. Sheikh Ahmad Izaddin bin Sheikh Ghazali. Forum bertajuk “Science Education and Career” turut dianjurkan sebagai salah satu pengisian program penutup disamping mengumumkan pemenang pertandingan. Dua orang penceramah iaitu Puan Ainul Rasyidah Ab Rahim, Pegawai Tadbir Diplomatik di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Puan Zarina Nazir, Jurutera Sivil di Kementerian Alam sekitar dan Air telah turut bersama berkongsi pandangan dan pengalaman bersama pelajar. Majlis turut disertai oleh kesemua Pensyarah Sumber bagi subjek Kimia Pra Diploma iaitu ChM. Nurul ‘Ain Jamion, ChM. Dr. Ropisah Me, Dr. Anis Low Mohammad Low, dan Puan Mazni Muza.
Seramai 3 orang pelajar masing-masing dari program Pra Diploma Stem A dan C telah dipilih sebagai pemenang dan 10 hadiah saguhati turut diberikan hasil sumbangan pensyarah. Majlis telah diakhiri dengan rumusan yang disampaikan oleh Koordinator Pra Pendidikan Tinggi UiTM Cawangan Negeri Sembilan iaitu Puan Siti Noriah Mohd Shotor. Hasil keberkesanan program menunjukkan 95% pelajar mengakui program ini mencapai objektifnya dan berharap program sebegini dapat diteruskan di masa akan datang.