Universiti For Society (SULAM) 2022 dan Khidmat Masyarakat

Program Service-Learning Malaysia – Universiti For Society (SULAM) 2022 dan Khidmat Masyarakat di Sekolah Kebangsaaan Sg Judah dan Perkampungan Orang Asli Sg Judah, Pulau Carey, Selangor telah berjaya dilaksanakan pada Sabtu, 3 Disember 2022. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha, Encik Azhar A. Kadir, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat dan dihadiri oleh Dekan Akademik dan Antarabangsa, Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan wakil-wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan, ucapan perasmian dan diikuti dengan gimik perasmian dengan upacara menyumpit belon oleh Encik Azhar A. Kadir dengan iringan dan tunjuk ajar oleh wakil komuniti Perkampungan Orang Asli Sungai Judah. Pada akhir majlis, tarian khas daripada murid-murid yang berusia dalam lingkungan 7 – 10 tahun telah dipersembahkan. Unik dan menariknya persembahan ini kerana mereka diiringi dengan muzik asli dan menari dengan pakaian khas yang diperbuat daripada pelbagai sumber alam semulajadi serta diketuai oleh seorang penari yang memakai topeng.

Program SULAM dan Khidmat Masyarakat yang julung kalinya diadakan ini dianjurkan oleh pelajar-pelajar Pusat Pengajian Pembinaan, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM bersama Persatuan Alumni Universiti-universiti Texas (PAUT) dan Wakaf Desa Fahmi dengan kerjasama daripada gabungan pelajar UiTM yang terdiri daripada Persatuan Bangunan, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Turut menyertai program khidmat masyarakat ini ialah beberapa agensi luar iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sime Darby Plantation, Globonus Sdn. Bhd., Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Pandu Puteri Selangor, Bubbles O2 Sdn. Bhd., Envirocon Pest Management Sdn. Bhd. dan Persatuan Alumni Pengurusan Pembinaan (COMBINE).

“Service-Learning Malaysia – University for Society” atau SULAM adalah suatu program yang penting yang di dasarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi kepada para pelajar dalam memupuk sikap prihatin dan sentiasa menanamkan sikap ingin berbakti dan menyumbangkan khidmat yang bermakna kepada komuniti. Sasaran dan objektif utama program SULAM adalah untuk menjalankan aktiviti atau program yang menyumbang kepada komuniti melalui pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari oleh para pelajar di bilik kuliah atau makmal. Tuntasnya, pelajar-pelajar ini perlu bersikap lebih peka dan prihatin terhadap isu dan perkara di sekeliling mereka dan cuba mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi semasa proses pengajaran dan pembelajaran kepada persekitaran.

Penglibatan seramai lebih 800 orang di dalam program ini meliputi penglibatan pelbagai pihak dan pelbagai jenis aktiviti yang telah dibahagikan kepada empat zon.  Antara aktiviti yang telah berjaya dijalankan di setiap zon termasuklah aktiviti menaiktaraf seperti mengecat dinding dan tembok, membaikpulih laluan pejalan kaki, memasang dan menaikkan papan tanda serta membersihkan kawasan persekitaran di kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Judah, Balai Komuniti, Balai Adat dan Pusat Membaca, Perkampungan Orang Asli Sungai Judah. Aktiviti ini telah dilaksanakan secara bergotong-royong oleh para pelajar daripada Pusat Pengajian Pembinaan, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM. Pihak penaja daripada Envirocon Pest Management Sdn. Bhd. juga telah berbesar hati melaksanakan perkhidmatan kawalan serangga perosak di sekeliling kawasan sekolah seusai selesainya program yang berlangsung di kawasan sekolah.

Selain itu, aktiviti pemeriksaan kesihatan dan pergigian juga turut ditawarkan oleh Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian UiTM kepada semua penduduk Perkampungan Orang Asli Sungai Judah. Bagi memeriahkan program pada hari tersebut, beberapa acara sukaneka juga telah dianjurkan untuk murid-murid Sekolah Kebangsaan Sungai Judah. Murid-murid yang mengambil bahagian kelihatan sungguh gembira dapat beraktiviti dan acara sukaneka ini dilihat sebagai sesuatu yang menyeronokkan serta membantu meningkatkan aspek komunikasi dan kemahiran interaksi sosial mereka.

Diharap program seperti ini dapat diterapkan dan digarap dikalangan pelajar universiti serta diperkasakan lagi dengan tujuan murni untuk menjadikan mahasiswa universiti yang lebih berilmu, dan dalam masa yang sama sentiasa peka dengan isu-isu masyarakat di persekitaran mereka. Seharusnya, sokongan daripada persatuan-persatuan dan agensi-agensi luar amatlah dialu-alukan untuk melaksana dan menjayakan aktiviti ‘giving back to comumunity’ ini. Sekalung tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Sesungguhnya dengan kerjasama yang jitu daripada pelbagai pihak, program didapati memberikan impak kepada masyarakat setempat melalui perkongsian ilmu dan khidmat yang secara tidak langsung diaplikasikan bagi membantu menyelesaikan masalah setempat.