“Save trees, conserve energy!” adalah antara berpuluh- puluh kata nasihat yang diberi oleh pokok- pokok hiasan di sepanjang jalan masuk utama Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini. Program yang dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim ini telah diadakan pada 15 November 2019 dengan tema “Tag Trees, Stay Green!”. Program kampus hijau ini telah disertai lebih daripada 200 orang pelajar daripada pelbagai fakulti dengan mengenakan baju hijau tajaan pihak penganjur. Uniknya, apabila para peserta diarah bergerak secara berkumpulan menggunakan peta, dan diberi satu (1) papan kayu kitar semula yang dicetak dengan kata- kata nasihat dan perlu mencari nombor siri pokok yang betul untuk digantung.
Program ini adalah inisiatif daripada Jawatankuasa Kelestarian UiTM Shah Alam di bawah Kluster Infrastruktur dan Fasiliti yang diketuai Sr Gs Dr Khairul Nizam Tahar dan disertai oleh beberapa pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik (PPSUG), Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU). Program anjuran bersama dengan Persatuan Pelajar Sains Ukur dan Geomatik (GEOMASS) ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada warga universiti untuk menyayangi alam sekitar. Jawatankuasa Kelestarian ini dibentuk bagi membantu universiti bagi tersenarai sebagai kampus hijau berdasarkan indeks Universitas Indonesia Green Metric Index (UIGM). Indeks ini digunakan bagi mengira peratusan usaha setiap universiti di dunia bagi maksud kelestarian. Program bermula dengan bacaan doa, disusuli dengan ucapan dari Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian iaitu Prof Dr Zakiah Ahmad, dan seterusnya ucapan dan gimik perasmian yang disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM .
Semua peserta dan warga UiTM Shah Alam menyahut baik usaha murni program yang dilihat telah dapat mencapai objektif program demi menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar dan meningkatkan suasana hijau semulajadi di dalam kampus dengan pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh jawatankuasa ini pada masa akan datang.