“Learn Beyond Expectation” Membuka Minda Mahasiswa Terhadap Dunia Luar

"Learn Beyond Expectation" Membuka Minda Mahasiswa Terhadap Dunia Luar
Sesi fotografi bersama para pensyarah, ahli jawatankuasa dan para peserta Learn Beyond Expectation

10 Oktober 2019 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu program sesi perkongsian Learn Beyond Expectation, di mana program ini merupakan program sesi perkongsian daripada pelajar-pelajar Persatuan Pelajar Optometri (OPTIMIST) yang telah menyertai program pertukaran pelajar di Taiwan pada cuti semester yang lepas.

Program ini merupakan antara salah satu inisiatif oleh pihak Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai Program Pertukaran Pelajar ke luar negara. Selain itu, program ini juga membuka ruang kepada universiti untuk mencari pelajar-pelajar yang berpotensi untuk menyertai Program Pertukaran Pelajar ke luar negara pada masa akan datang. Seramai 220 orang pelajar-pelajar FSK yang terdiri daripada 140 pelajar-pelajar Persatuan Pelajar Optometri,10 wakil dari setiap persatuan serta beberapa orang pensyarah telah terlibat sebagai peserta program ini. Program ini telah dipimpin oleh Encik Mohd Fauzli bin Mohd Yusof.

"Learn Beyond Expectation" Membuka Minda Mahasiswa Terhadap Dunia Luar
Encik Romizan bin Jathin,Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar sedang memberikan ucapan perasmian program Learn Beyond Expectation

Program perkongsian, Learn Beyond Expectation ini telah disampaikan oleh Aiman Fitri Md Isa, Abdul Azim bin Khairul Anuar dan Tengku Puteri Aina bt Tuan Mansor, pelajar –pelajar Persatuan Pelajar Optometri (OPTIMIST) yang telah menyertai Program Pertukaran Pelajar di Taiwan selama 2 minggu pada cuti semester yang lepas dengan tujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar mengenai proses pengurusan bagi Program Pertukaran Pelajar.

Tambahan lagi, penganjuran program ini juga bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi yang terdapat di Taiwan dalam sistem pendidikan dan budaya kehidupan di Taiwan. Di samping itu program ini diharap dapat membantu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam meningkatkan tahap kredibiliti mahasiswa UiTM pada pandangan masyarakat luar selain menghasilkan bakal graduan yang berkualiti dalam kalangan mahasiswa FSK.

"Learn Beyond Expectation" Membuka Minda Mahasiswa Terhadap Dunia Luar
Presiden-presiden Persatuan Fakulti Sains Kesihatan juga turut turun padang sebagai tanda sokongan akan program-program FSK

Program Learn Beyond Expectation ini telah dirasmikan oleh Encik Romizan bin Jathin,Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSK. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan sesi perkongsian. Mereka telah berkongsi pengalaman sebelum dan semasa mereka menyertai program pertukaran pelajar di Universiti Asia, Taiwan. Selain sesi perkongsian, sesi soal jawab juga telah diadakan untuk memberi peluang kepada peserta untuk bertanya kepada mereka.

Menurut Pengarah program, Nurul Asyiqin binti Noor Azni , mahasiswa telah mendapat banyak input baru dan berguna yang boleh dipraktikkan oleh mereka dalam kehidupan seharian mereka terutamanya sebagai seorang mahasiswa agar menjadi lebih cemerlang dan maju dalam pelbagai aspek. Tambahan lagi, beliau berharap semoga program yang dijalankan ini boleh menjadi penyuntik semangat kepada mahasiswa untuk lebih maju dan bersifat holistik dalam setiap aspek kehidupan.

Disediakan oleh,
NURUL ASYIQIN BINTI NOOR AZNI
Sekretriat Mahasiswa Fakulti
Fakulti Sains Kesihatan 18/19