“Planting the Seeds of the Future” Program Kerjasama UiTM dan UNAIR

“Planting the Seeds of the Future” merupakan satu program yang dianjurkan bersempena Hari Persekitaran Sedunia 2021 pada 5 Jun 2021 oleh Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pulau Pinang kampus Bertam. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Fakultas Kesehatan Masyarakat (FKM), Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia. Program ini telah dirasmikan oleh Rektor UiTM cawangan Pulau Pinang, Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, diikuti Dekan Fakultas Kesehatan Masyarakat, UNAIR, Dr. Santi Martini.

Tujuan program ini adalah untuk menyediakan platform bagi perkongsian di antara pelajar UiTM dan UNAIR mengenai pengalaman mereka sebagai pelajar Program Kesihatan Persekitaran di negara mereka. Tambahan pula, program ini juga memberi ruang untuk pelajar menghargai sumbangan bidang Kesihatan Persekitaran dalam memastikan kelangsuangan kesejahteraan manusia dan alam sekitar. Amat penting untuk pelajar memahami bahawa sumbangan bidang Kesihatan Persekitran tidak dihadkan di dalam negara mereka sahaja tapi boleh memberi kesan kepada negara lain juga.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program “Planting the Seeds of the Future” adalah perkongsiaan wakil pelajar dari kedua-dua universiti mengenai latihan industri mereka dan perkongsiaan dari pakar bidang Kesihatan Persekitaran. Pelajar dari Malaysia yang mewakili UiTM adalah Muhammad Zikrie Aidil bin Rosli dan Adib Hannan bin Mazlani manakala pelajar dari Indonesia yang mewakili UNAIR adalah Taufik Imadudin and Resawati Intan Savitri. Setiap wakil pelajar berkongsi tugasan yang mereka perlu lakukan untuk melengkapkan latihan industri di samping cabaran dan pengalaman-pengalaman menarik yang dilalui.

Pakar-pakar dari bidang Kesihatan Persekitaran pula berkongsi pengalaman mengaplikasikan ilmu Kesihatan Persekitaran dalam kehidupan seharian. Penceramah yang mewakili UiTM adalah Dr. Mohamad Azhar bin Mohd Noor manakala penceramah dari Indonesia yang mewakili UNAIR adalah Prof. Dr. H. J. Mukono dan Dr. Lilis Suistyorini. Antara tajuk yang diperbincangkan adalah kesan racun perosak kepada kesihatan wanita dan pengurusan sisa semasa COVID-19.

Aktiviti lain yang dilakukan adalah aktiviti berkumpulan di mana seramai 49 pelajar UiTM dan 52 pelajar UNAIR dibahagikan kepada kumpulan kecil. Terdapat seorang pensyarah dari UiTM dan UNAIR yang menjadi fasilitator di dalam setiap kumpulan bagi memastikan kelancaran interaksi antara pelajar. Setiap pelajar di dalam kumpulan mereka mengenalkan diri mereka dan berkongsi tempat menarik yang boleh dikunjungi di kampung halaman mereka. Setelah saling berkenalan, pelajar membincangkan isu persekitaran yang dilalui oleh Malaysia dan Indonesia dan peranan mereka untuk mencegahnya. Antara isu yang dibincangkan adalah pencemaran air, keselamatan pekerja, pembiakan nyamuk aedes, dan kebersihan permakanan.

Di penghujung program, setiap pelajar berkongsi pengalaman mereka sepanjang program yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Pelajar juga mempunyai peluang berkongsi media sosial mereka untuk terus berkomunikasi selepas tamatnya program. Ini selaras dengan salah satu teras strategik dari Pelan Strategik UiTM 2025 iaitu Kecemerlangan Global. Program seperti ini dapat meluaskan lagi jaringan pelajar UiTM secara tidak langsung membolehkan pelajar UiTM mengembangkan pengalaman akademik mereka pada tahap antarabangsa.