Vaksin Menurut Islam

PUNCAK ALAM- Pada 10 Jun 2021, Ceramah: Vaksin Menurut Pandangan Islam telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH). Ceramah ini telah dijalankan secara atas talian melalui platform Facebook Live ‘MELTECH UiTM Puncak Alam’. Penceramah, Dr Mohd. Hapiz Mahaiyadin merupakan pensyarah kanan dari Fakulti Pengajian Islam dan Kotemporari. Program ini merupakan program terbuka yang boleh disertai oleh orang awam dan tidak terhad kepada pelajar UiTM sahaja. Seramai 167 orang peserta telah terlibat bagi menjayakan program ini.

Program ceramah ini merupakan salah satu langkah yang diambil oleh MELTECH bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai vaksinasi dan pengambilan vaksin menurut pandangan Islam tentang pengambilan vaksin. Meskipun berdepan dengan pandemik Covid-19, masih ada golongan-golongan yang tidak mahu mengambil vaksin walaupun program vaksinasi ini adalah penting bagi mencapai imuniti kelompok.

Pengarah program, Ainur Izzati binti Shahrudin berkata, program seperti ini adalah perlu bagi memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada orang ramai tentang vaksin dari sudut pandangan Islam. Beliau juga berharap agar segala kekeliruan yang timbul berkaitan vaksin dalam kalangan masyarakat dapat dihuraikan. 

“Selain itu, diharapkan agar semua peserta yang mengikuti ceramah ini dapat memahami apa yang disampaikan oleh penceramah dan mereka boleh menyampaikan maklumat yang sahih mengenai vaksin kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang lain,” katanya.