KPPIM SHAH ALAM, 18 Ogos 2023 – Majlis Perasmian PITSTOP KPPIM FOOD4U telah berlangsung di Kompleks Al-Khawarizmi, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA di Shah Alam, hari ini. Perasmian majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP), YBhg. Prof. Dr Hj. Mohd Sazili Shahibi.
PITSTOP KPPIM FOOD4U merupakan adaptasi program yang telah dilancarkan oleh YBhg. Prof. Dr Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) pada 17 Julai 2023. Ia sejajar dengan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi dan UiTM untuk mencorak graduan yang sihat dan berdaya tahan. PITSTOP KPPIM FOOD4U merupakan satu ruang yang menyediakan makanan dan minuman kepada pelajar. Disamping itu, peralatan penyediaan makanan dan minuman seperti mesin air panas dan sejuk serta ketuhar gelombang mikro juga turut disediakan.
Menurut Prof. Dr Hj. Mohd Sazili Shahibi, “Pitstop” makanan adalah satu bentuk sokongan praktikal untuk melahirkan pelajar yang berketerampilan dan seimbang dari segi emosi dan sosial serta mempunyai kesihatan optimal. Ini selaras dengan matlamat UiTM untuk mencorak graduan yang sihat dan berdaya tahan.
Prof. Ts. Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor KPPIM berharap PITSTOP KPPIM FOOD4U dapat memberikan semangat kepada para siswa dan siswi di KPPIM agar terus komited dalam pembelajaran mereka walau apa juga latarbelakang dan permasalahan yang mereka hadapi. Beliau menyatakan ia juga bertujuan bagi meringankan beban pelajar KPPIM terutama mereka yang terpaksa mengikat perut dan mencatu perbelanjaan seharian mereka.
Pada majlis ini, Prof. Dr Hj. Mohd Sazili Shahibi turut menandatangani poster perasmian sebagai simbolik perasmian PITSTOP KPPIM FOOD4U di hadapan kira-kira lebih 80 orang hadirin. Turut hadir pada majlis tersebut adalah pengurusan kanan, para pensyarah, dan pelajar KPPIM