“Business Innovation, Competition and Exhibition” (BICE) Pencetus Inovasi Keusahawanan Pelajar

JPP & MASMED UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, 4 Julai 2023: Keusahawanan merupakan salah satu pemangkin perubahan kepada status sosial kepada individu, masyarakat dan negara secara umumnya. Program “Business Innovation, Competition and Exhibition” (BICE) ialah program yang dijalankan pada setiap semester di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Program ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran kursus “Asas Keusahawanan” (ENT300). Ianya bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta daya saing serta inovasi pelajar. Para pelajar perlu membuat pembentangan dalam bentuk pertandingan inovasi yang seterusnya akan dinilai oleh panel industri bagi memberi nilai tambah kepada produk dan rancangan perniagaan yang telah dihasilkan. Disamping itu, pelajar juga didedahkan dengan dua ceramah keusahawanan yang diberikan oleh usahawan industri luar dan pensyarah UiTM yang telah berjaya dan cemerlang dalam bidang masing-masing. Ceramah pertama telah diberikan oleh Profesor Madya Dr. Alwi Mohd Yunus, Ketua Transformasi Organisasi dan Minda, UiTM Shah Alam, Selangor manakala ceramah kedua pula disampaikan oleh usahawan berjaya Puan Arliya Munif dari Syarikat Perabot Berkualiti Kedah.

Seramai 63 kumpulan peserta yang terdiri daripada pelajar diploma dari Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Perakaunan, dan Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik telah mengikuti pertandingan inovasi ini. Para peserta telah menghasilkan idea dan prototaip inovatif dari pelbagai produk berasaskan makanan, pakaian, barangan elektrik, perkhidmatan dan lain-lain. Seramai 22 orang juri dalaman yang terdiri dari kalangan pensyarah dan 5 juri luar dari universiti lain seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM Puncak Alam) telah membantu dalam penilaian hasil rancangan inovatif pelajar. Peluang ini dilihat dapat memberi ruang dan galakkan kepada pelajar untuk meningkatkan ilmu dan produk inovatif pelajar.

Di pengakhiran program ini, satu majlis penutup telah diadakan bagi meraikan peserta yang telah berjaya mengikut program ini. Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah iaitu Dr. Ahmad Zoolhelmi Alias telah merasmikan majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada peserta yang telah berjaya. Terdapat tiga kategori pingat yang ditawarkan pada program tersebut iaitu Emas, Perak dan Gangsa. Seramai 15 kumpulan telah berjaya mendapat pingat Emas, 20 kumpulan telah berjaya mendapat pingat Perak dan 28 kumpulan berjaya merangkul pingat Gangsa.
Secara keseluruhannya, program ni telah berjaya mencapai objektif iaitu untuk memberi bimbingan, pengetahuan serta membantu pelajar dalam menghasilkan produk inovatif yang berdaya saing. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang bagi menyuntik semangat keusahawanan dikalangan pelajar UiTM seterusnya menyokong agenda negara yang menggalakkan keterlibatan rakyat dalam sektor keusahawanan.

Laporan disediakan oleh Noryanne Amer dan penulis bersama ialah Noormahayu Mohd Nasir, Ima Shanaz Wahidin, dan Riza Emifazura Jaafar.

*Koresponden: yanne386[at]uitm.edu.my