Program Pinktober Forum 2021: Slices of Stories telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2021, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk memberi kesedaran kepada warga UiTM Puncak Alam dan masyarakat tentang bahaya serta risiko kanser payudara sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara. Bukan itu sahaja, program ini juga bermatlamat untuk memberi pendedahan berkaitan simptom-simptom awal kanser payudara.
Program ini telah berlangsung pada 28 Oktober 2021 bermula jam 2.00 petang hingga 4.30 petang di platform atas talian Cisco Webex dan Facebook Live Masjid Puncak Alam. Program ini telah disertai oleh 186 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan, 22 orang ahli jawatankuasa yang menjadi penggerak kejayaan program, tetamu-tetamu kehormat serta dua orang wakil dari Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Kehadiran Dr Muhammad Faiz Bin Md Taib yang merupakan Pegawai Perubatan MAKNA, Puan Azlina Binti Abdullah dan Puan Norlian Binti Noordin yang merupakan cancer survivors, selaku para penceramah jemputan telah menjayakan kelangsungan program ini.
Program dimulakan dengan sesi bacaaan doa, ucapan oleh Pengarah Program, saudari Sharifah Afiqah binti Syed Sagaff dan diikuti dengan tayangan video ringkas mengenai Breast Cancer. Setelah itu, sesi perkongsian daripada Dr Muhammad Faiz Bin Md Taib, Puan Azlina Binti Abdullah dan Puan Norlian Binti Noordin pun bermula. Corak program yang berbentuk forum ini telah menambat perhatian para peserta dengan perkongsian pengalaman Puan Azlina dan Puan Norlian menghidapi kanser payudara disusuli dengan fakta-fakta yang dilontarkan oleh Dr Faiz. Program diteruskan lagi dengan sesi Quell Your Curiosity atau dalam erti kata lain, sesi soal jawab bersama ketiga-tiga penceramah jemputan MAKNA.
Kira-kira setengah jam sebelum program tamat, Kuiz Breast Cancer Awareness dijalankan bagi menguji kefahaman dan pengetahuan para peserta berkenaan kanser payudara. Aktiviti kuiz tamat dengan saudari Izzati Binti Mohammad Munir (mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan Semester 5) menjuarai tempat pertama, saudari Nur Balqis Amirah Binti Bazri Hizam (mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pemakanan dan Dietetik Semester 1) memperoleh tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh saudari Nurairin Syafiqah Binti Mohammad Noor Muharrim (mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan Semester 5). Ucapan perasmian penutup majlis Breast Cancer Awareness Month telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan, Puan Ann Erynna Lema Thomas Sudin. Maka dengan itu, program Pinktober Forum 2021: Slices of Stories pun melabuhkan tirai dengan jayanya.
Tuntasnya, program ini sememangnya telah memenuhi hasrat yang dirancang iaitu untuk meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa dan masyarakat mengenai bahaya kanser payudara serta mengingatkan untuk sentiasa cakna terhadap simptom awal penyakit ini yang menjadi antara pembunuh utama seluruh negara. Diharap agar keberkesanan program ini sedikit sebanyak memberi input yang berguna kepada semua pihak berkenaan kanser payudara. Diharap juga agar program ilmiah seperti ini dapat dianjurkan lagi kelak di masa akan datang.