SHAH ALAM, 16 JANUARI 2023 – Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) akan diadakan pada setiap tahun untuk menentukan siapa yang akan menjadi wakil kepada semua mahasiswa. Melalui pemilihan JPP ini, mahasiswa dan mahasiswi diberi kuasa mengundi untuk menentukan siapa yang akan mewakili fakulti dan kolej pengajian masing-masing. Dengan cara ini, dua calon setiap fakulti yang mempunyai undian tertinggi akan menjadi wakil fakulti masing-masing seterusnya menyertai Majlis Perwakilan Pelajar. Pemilihan JPP UiTM pada tahun ini masih lagi mengekalkan kaedah pengundian secara dalam talian. Mahasiswa dan mahasiswi boleh membuat pengundian dari kampus ataupun rumah. Adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa dan mahasiswi untuk mengundi dalam usaha menentukan mereka yang betul-betul layak mewakili mahasiswa selain mampu menunaikan manifesto dengan baik serta memperjuangkan kebajikan dan hak mahasiswa.
Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM telah mengadakan penamaan calon yang bertempat di Foyer Kompleks Budisiswa, UiTM Shah Alam. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM. Turut hadir, Timbalan Rektor HEP UiTM Cawangan Selangor, barisan pengurusan kanan BHEP, barisan dekan dan timbalan dekan HEP. Sebanyak 101 borang pencalonan telah diterima dari seluruh fakulti dan 94 calon telah diumumkan bagi mewakili 24 fakulti dan kolej pengajian. Dari jumlah itu, tiga fakulti diumumkan menang tanpa bertanding. Setelah penamaan calon diumumkan di mana calon telah menerima surat pemakluman beserta garis panduan dan tatacara am Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), mahasiswa UiTM yang berjaya dicalonkan boleh memulakan kempen pilihan raya kampus mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Universiti Teknologi MARA Sesi 2022/2023 telah bermula pada 9 Januari 2023 dengan pengeluaran borang pencalonan dan penerimaan borang pencalonan secara dalam talian pada 11 Januari 2023. Pengumuman calon yang layak bertanding telah dilakukan pada 13 Januari 2023 dan calon boleh mula berkempen selepas penamaan calon diumumkan. Kempen pemilihan akan tamat pada 17 Januari 2023 pada jam 11.59 malam dan bermulalah sesi pembuangan undi pada 18 Januari bermula pada 12.01 pagi hingga 5.30 petang yang dilaksanakan secara dalam talian. Sesi pengiraan undi akan bermula 18 Januari 2023 pada jam 5.30 petang hingga selesai pengiraan undi. Setelah semuanya selesai, pengumuman keputusan rasmi akan dimaklumkan pada 18 Januari bertempat di Kompleks Sukan, UiTM Shah Alam.
Harapan YBhg. Prof. TNC HEP agar semua mahasiswa dari setiap fakulti dan kolej pengajian sama-sama menyemarakkan lagi pilihan raya kampus dan yang paling penting untuk semua mahasiswa mengundi pada hari serta waktu yang telah ditetapkan. Setiap pihak yang berkepentingan mula sedar akan peranan dan kedudukan serta hak mereka dalam memastikan amalan demokrasi terus dipertahan dan diperkukuhkan demi kepentingan bersama. Sehubungan dengan itu, pendidikan pilihan raya juga wajar diberi keutamaan bagi menyuburkan lagi amalan demokrasi dan raikanlah sebaiknya pilihan raya kampus ini demi kebaikan bersama.