HEP UiTM Angkat Aspirasi Pemimpin Mahasiswa Melalui Konvensyen MPP UiTM Se-Malaysia

SHAH ALAM, 13 JANUARI 2023 – Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia Sesi 2021/2022 yang bertempat di Hotel New York Johor Bahru telah melibatkan empat jabatan Majlis Perwakilan Pelajar dan 24 usul yang dibentangkan dan dibahaskan dalam mencapai resolusi yang terbaik bagi memurnikan kebajikan serta khidmat yang diberikan kepada mahasiswa dan universiti. Dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia Sesi 2021/2022 adalah amat dihargai kerana persidangan ini telah pun berlangsung hampir sebulan. Secara tidak langsung, perkara ini telah menunjukkan tanggungjawab dan komitmen yang telah dilaksanakan oleh MPP UiTM dalam melaksanakan amanah demi pembangunan UiTM secara keseluruhannya.

MPP UiTM yang berfungsi sebagai pemimpin mahasiswa UiTM semestinya mempunyai pengetahuan yang lebih luas berkenaan sudut pandang golongan mahasiswa. Idea, cadangan dan pandangan oleh seluruh mahasiswa adalah amat dialu-alukan seluruh warga UiTM amat memerlukan sumbangan bukan sahaja berbentuk tenaga, malah idea kepada pembangunan universiti yang terbesar di negara ini. Pandangan setiap warga UiTM khususnya mahasiswa adalah sangat penting dalam merealisasikan cita-cita universiti keramat ini seiring dengan aspirasi UiTM ke arah Globally Renowned University (GRU) 2025 di samping mencapai objektif UiTM iaitu memperluas akses pendidikan tinggi, menyediakan pendidikan bertaraf dunia, dan menawarkan program akademik yang memenuhi keperluan pasaran, memacu pembangunan negaradan kemakmuran global.

Konvensyen MPP UiTM Se-Malaysia Sesi 2021/2022 telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM. YBhg. Prof. berkata, penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM se-Malaysia dalam memberi idea, cadangan dan pandangan sedikit sebanyak dapat membantu pembangunan dan kebajikan mahasiswa UiTM di samping meningkatkan tahap ketampakan UiTM secara holistik. Hal ini selari dengan fungsi utama HEP iaitu melahirkan profesional berinovatif, berdaya keusahawan serta berpersonaliti unggul untuk memenuhi keperluan global. Konvensyen pada kali ini juga turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Hj. Mohammad Khairi Bin Hj. A. Malik selaku Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi sebagai panel jemputan khas dalam membincangkan serta membawa suara mahasiswa UiTM ke peringkat KPT.

UiTM sentiasa komited untuk melahirkan mahasiswa kelas pertama yang berwibawa dan berketrampilan agar apabila tamat pembelajaran di universiti, mahasiswa dapat menyumbang kepakaran serta tenaga dalam menjayakan agenda pembangunan negara di samping memberikan khidmat yang terbaik buat bangsa, agama dan negara. Harapan YBhg. Prof. TNC HEP agar semua pemimpin mahasiswa meningkatkan lagi usaha dalam mengembangkan potensi diri dan sentiasa berdaya saing dengan lebih hebat dalam dunia kini yang lebih mencabar. Permasalahan yang dihadapi oleh dunia kini memerlukan mahasiswa berwibawa sebagai perintis peneraju negara untuk menjadi lebih rasional dalam berhadapan dengan cabaran.