Petua dan Strategi Sebelum Ke Latihan Industri

PERMATANG PAUH, 20 Januari 2024 –  Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE), Prof. Madya Ir. Dr. Nor Azlan Othman berbesar hati berkongsi petua atau tips-tips dari slaid pembentangannya yang bertajuk  “Industrial Training Preparation” kepada pelajar-pelajar semester 5 Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Definisi latihan industri dari sudut pandangannya ialah proses pembelajaran penting dalam memberikan pendedahan praktikal kepada persekitaran kerja dunia sebenar. Ia menawarkan peluang berharga kepada pelajar untuk menggunakan pengetahuan akademik atau menggunakan pengetahuan teori dalam situasi alam pekerjaan yang sebenar , memperoleh pengalaman praktikal dalam suasana profesional, dan membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk kerjaya masa depan mereka. Tambahnya lagi, ia membantu dalam pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, penyelesaian masalah, dan pengurusan masa.

Antara tips persediaan pertama yang dikongsikan ialah pelajar perlulah:

  • menyelidik latar belakang syarikat dan industri tersebut. Ia merangkumi menerokai organisasi yang berbeza, budaya kerja, dan peluang yang industri tawarkan kepada pelatih.
  • berhubung dengan profesional dan pakar industri untuk mendapatkan pandangan tentang pasaran pekerjaan semasa dan landskap industri.

Seterusnya, strategi yang amat penting bagi pelajar ialah  membangunkan kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan bidang pengajian iaitu:

  • mempunyai pengetahuan asas dan kemahiran langsung dalam alatan, perisian dan proses teknikal khusus industri.
  • meningkatkan komunikasi, kepimpinan, dan kemahiran menyelesaikan masalah untuk mengemudi persekitaran profesional dengan berkesan.
  • dapatkan pemahaman mendalam tentang amalan khusus industri, peraturan dan tren baru muncul melalui pengalaman praktikal.

Selain daripada itu, perkongsian ini lebih menarik dengan ada mata tambahan tips persediaan menjalani latihan industri, iaitu pelajar juga perlulah:

  • kreatif dan pandai dalam menyediakan resume profesional dan surat iringan.
  • belajar teknik-teknik Ketika ditemuduga.
  • membina hubungan profesional sebagai contoh menggunakan platform profesional seperti LinkedIn untuk mengembangkan rangkaian, melibatkan diri dalam perbincangan bermaklumat dan mendapatkan nasihat profesional.

Beliau juga menambah salah satu petua untuk merasai pengalaman latihan industri yang berjaya ialah sentiasa dapatkan maklum balas yang membina secara aktif daripada mentor dan rakan sekerja untuk terus menambah baik dan memperhalusi kemahiran dan prestasi anda. Oleh itu, sesi perkongsian secara lebih dekat antara Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dengan pelajar diploma ini banyak membantu mereka untuk memulakan langkah awal persediaan sebelum ke latihan industri kelak.