Pertandingan Video Pendek STEM ‘Story Telling’ Peringkat Pulau Pinang Tarik Daya Kreativiti Pelajar

Permatang Pauh – Pertandingan Video Pendek STEM Story Telling peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah melabuhkan tirainya pada 28 September 2020. Pertandingan ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Kelab Mahasiswa MySTEM Ambassador dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPN).

Pertandingan ini telah dilaksanakan bermula dari 15 Julai 2020 hingga 15 Ogos 2020 secara atas talian manakala Majlis Penghargaan dan Penyampaian Hadiah telah diadakan pada 28 September 2020 yang dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang. Turut hadir di majlis tersebut adalah Encik Mohd Hafifie Abdul Halim mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

 

 

 

 

 

 

 

 

Seramai 103 orang pelajar yang dibantu oleh 30 orang mentor dari kalangan guru dan pensyarah telah menyertai pertandingan ini secara dalam talian yang dibuka kepada tiga (3) kategori iaitu Institut Pengajian Tinggi (IPT), sekolah menengah dan sekolah rendah di Pulau Pinang. Kolej Vokasional Nibong Tebal telah dinobatkan sebagai Johan bagi kategori IPT, manakala Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling menyandang gelaran Johan bagi kategori sekolah menengah.  Johan kategori sekolah rendah disandang oleh Sekolah Kebangsaan Jelutong.

Penganjuran pertandingan seperti ini telah mendapat maklum balas dan respon yang positif daripada kalangan peserta. Para peserta menyifatkan aktiviti seumpama ini dapat membantu pelajar untuk berfikir secara lebih kreatif dan kritis serta mengalakkan pelajar untuk terus berinovasi. Disamping itu, penganjuran pertandingan ini dilihat lebih berdinamis dalam menerapkan budaya pencetusan idea dan inovatif serta membangunkan potensi pelajar dalam membentuk generasi yang lebih berdinamik dan berkualiti untuk masa kini dan hadapan dalam menempuh era Revolusi Industri 4.0.

1
0