Pertandingan Idea Unggul@UiTM 2020 Merealisasikan Idea Penjanaan dan Kreativiti di Kalangan Warga Universiti

Pertandingan Idea Unggul @ UiTM 2020 telah dilaksanakan dengan jayanya secara atas talian menerusi Webex Meet bermula Jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Pertandingan ini dianjurkan oleh Unit Inovasi dan Kreatif (KIK), Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pertandingan ini dirasmikan oleh Prof Dr Hjh Roziah Mohd Janor, Penolong Naib Canselor InQKA. Menurut Ketua Inovasi dan Kreatif, Ts Dr Nor Hanisah Mohd Hashim, terdapat 3 bidang yang akan dinilai oleh pihak juri iaitu bidang Pengajaran dan Pembelajaran, Pengurusan dan Sosial.

Juri bagi bidang Pengajaran dan Pengurusan terdiri daripada En Risham Jaafar dan En Rasdi Deraman bagi pusingan awal manakala pada pusingan akhir pula adalah Prof. Dr Norzaidi Mohd Daud (Juri Luar) serta PM Dr Thuraiya Mohd (Juri Dalam). Juri dari bidang Pengurusan terdiri daripada Ustaz Hussaini Ab Razab dan Dr Syed Yusainee Syed Yahya yang merupakan juri pusingan awal. Juri pusingan akhir bagi bidang Pengurusan pula adalah En Muhammad Ramlee bin Musa (Juri Luar) dan En Darus Kassim (Juri Dalam). Akhir sekali, juri bagi bidang Sosial terdiri daripada Puan Norme Haji Saleh dan En Suria Kamis manakala juri pusingan akhir adalah Tuan Haji Hussaini (Juri Luar) dan En Shamsol Shafie (Juri Dalam).

Objektif pertandingan ini adalah untuk kelangsungan pembudayaan dan pemerkasaan inovasi dikalangan warga UiTM. Selain itu, ianya juga menyemarakkan semangat berinovasi di kalangan warga UiTM. Menggalakkan penghasilan inovasi yang berimpak tinggi serta bernilai komersial juga merupakan salah satu daripada objektif pertandingan ini.

Di samping itu, pertandingan ini juga menggalakkan keterlibatan warga UiTM dalam menyumbangkan usaha untuk mencapai KPI UiTM dan meningkatkan daya kreativiti, pemikiran inovatif dan memastikan warga UiTM berdaya maju dalam memenuhi inspirasi negara.

Pertandingan ini adalah terbuka kepada seluruh warga UiTM. Sebanyak 60 kumpulan telah menyertai pertandingan ini meliputi 17 kumpulan bagi bidang Pengajaran dan Pembelajaran, 33 kumpulan bidang Pengurusan dan 10 kumpulan bidang Sosial. Setelah melalui proses penilaian pusingan awal, sebanyak 30 kumpulan telah terpilih ke peringkat pusingan akhir iaitu 11 (Pengajaran dan Pembelajaran), 11 (Pengurusan) dan 8 (Sosial).

Hari penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Ybhg Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA pada 18 Disember 2020.