Persima FPP 2023 Menjadi Wahana Perbincangan Pemimpin-Pemimpin Mahasiswa FPP

Persidangan Mahasiswa Fakulti Pengurusan dan Perniagaan 2023 atau lebih dikenali sebagai PERSIMA FPP 2023 merupakan satu inisiatif yang dibawakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPP. Program ini merupakan satu perhimpunan pengurusan tertinggi kepimpinan mahasiswa yang membincangkan secara menyeluruh berkenaan cadangan, urus tadbir pelajar, kebajikan serta keharmonian pelajar di kampus.

Persidangan ini berlangsung pada 12 April 2023 di Bilik AV8, Bangunan FSK6, UiTM Kampus Puncak Alam. Ianya dimulakan dengan majlis perasmian oleh Tuan Syed Ashrene Syed Omar, Timbalan Dekan HEP FPP. Seterusnya majlis diteruskan dengan penyerahan watikah perlantikan Speaker Dewan PERSIMA 2023 iaitu saudara Rasydan Mohd Hasan, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022. Majlis perasmian diakhiri dengan sesi Mengangkat Sumpah Perwakilan yang diketua oleh saudara Mohd Arash Najmi Tugimin, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan sesi 2022/2023. Seterusnya itu, Tuan Speaker mengumumkan persidangan dimulakan dengan sidang pertama, di mana pembentangan usul-usul dilaksanakan oleh perwakilan-perwakilan dewan PERSIMA 2023. Sesi persidangan disambung kepada sidang kedua dan ketiga. Setelah sidang ketiga berakhir dengan perbahasan usul-usul dan resolusi, Tuan Speaker mengumumkan bahawa persidangan ditangguhkan. Upacara penutup diikuti sesi bergambar dan beramah mesra diantara perwakilan berlangsung sehingga majlis bersurai.

Sepanjang persidangan ini berlangsung, dapat dilihat ciri-ciri perwakilan adalah sangat berkarisma, berketerampilan tinggi serta mempunyai pengetahuan umum yang luas. Disamping itu, program ini dilihat membina semangat jati diri dan muafakat yang muhibah di antara mereka. Daya kempimpinan yang holistik dapat dipupuk dengan adanya siri perbincangan, perbahasan serta bersama-sama memikirkan resolusi yang dapat membantu kelangsungan kehidupan mahasiswa FPP di kampus. Persidangan ini juga berupaya membantu semua ahli kelab dan persatuan dalaman FPP meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan mahasiswa dalam menganjurkan aktiviti yang mempunyai nilai-nilai UiTM iaitu ESI-IDART (Excellence, Synergy, Intergrity – Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab). Di samping itu, program ini dapat memperkasakan suara mahasiswa bagi kesejahteraan dan keharmonian secara menyeluruh dengan menyuarakan pandangan dan cadangan mereka di saluran yang betul.