Perkasa Kesejahteraan Psikologi Murid Orang Asli

Pahang, 31 Januari 2023– Keluarga merupakan insan selayaknya dan bertanggungjawab penuh dalam memastikan tahap perkembangan kognitif anak-anak dari peringkat awal hingga dewasa berada dalam keadaan yang baik. Pengaruh hubungan kekeluargaan ini dapat memberi kesan jangka panjang kepada murid kerana mereka akan merasakan kehangatan kasih sayang daripada ibu bapa serta adik-beradik dan secara tidak langsung mengurangkan permasalahan berkaitan emosi dan tingkah laku.

Demi mengekalkan kesejahteraan psikologi ini, satu program Bengkel Anak Cemerlang: Aku & keluarga” telah diadakan di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang yang melibatkan seramai 37 murid orang asli Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan. Program ini merupakan kesinambungan daripada Geran Penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Nurshahira Ibrahim, Pensyarah Kanan UiTM Pahang dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang yang memberi fokus kepada kesejahteraan psikologi murid orang asli.

Program ini mendedahkan kepada murid orang asli supaya mereka peka, prihatin dan berkasih sayang terhadap keluarga dan mengetahui pentingnya dalam membentuk suasana keluarga yang harmoni dan sejahtera. Profesor Ts. Dr. Mohd Ilham Bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang berkata, program sebegini amat signfikan diadakan kerana memberi nilai tambah kepada murid orang asli tentang penghayatan nilai kehidupan, perkembangan peribadi dan memberi sokongan berpanjangan terhadap pencapaian akademik mereka.

“Meskipun kita mengetahui tentang kehidupan asas mereka tetapi dengan cara ini kita bantu mereka untuk menjadi warganegara yang sihat fizikal, mental, rohani dan spiritual sehingga mampu memberi sumbangan kepada negara pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Ilham dalam ucapan perasmian beliau turut menyambut baik saranan pihak SK Kuala Tahan bagi menyuburkan aktiviti-aktiviti komuniti murid orang asli dengan meraikan, mengiktiraf dan menghulur tangan kerjasama dengan semua pihak demi kesejahteraan kehidupan mereka.

Tambah Prof. Rektor lagi, jalinan kerjasama yang lebih jitu daripada sekolah dan LPPKN dapat menjadi penyumbang utama kepada pembangunan murid orang asli masa depan yang lebih positif. “Ini kerana kita mengetahui bahawa peringkat awal kanak-kanak amat jarang terdedah dengan kesedaran kesejahteraan psikologi yang menjadi tunggak utama kepada kerjaya mereka pada masa hadapan. Secara tidak langsung ia memberi kesan negatif kepada proses pembelajaran mereka di sekolah,” tambahnya.

Program ini melibatkan Puan Siti Asmad Binti Zakarni, Penolong Pengarah Kanan LPPKN Negeri Pahang selaku penceramah khas, Prof. Madya Dr Hjh Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik; Dr. Hj. Asjad Bin Mohamed, Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari; Puan Hazlinda bt Mohd Taha, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta barisan guru-guru pengiring Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan, Dr. Nurshahira Ibrahim selaku Pengarah Program dan Jawatankuasa pelaksana bagi menjayakan program yang diadakan.