Perindu Smart Volunteerism 2.0

Perindu Smart Volunteerism 2.0

SHAH ALAM : Seramai hampir 100 orang sukarelawan yang juga penghuni Kolej Perindu UiTM Shah Alam telah menyertai aktiviti Perindu Smart Volunteerism Siri 2.0, bertujuan membersihkan kawasan sekitar Kolej Perindu. Berbeza dengan siri yang sebelumnya, aktiviti kali ini lebih memfokuskan kepada elemen semangat kesukarelawanan yang seharusnya menjadi identiti generasi muda khususnya mahasiswa selain mengisi masa lapang dan menghilangkan kebosanan mahasiswa yang masih tinggal di Kolej Perindu UiTM Shah Alam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Aktiviti-aktiviti pembersihan koridor setiap blok dan kawasan sekitar kolej termasuk fasiliti-fasiliti utama yang terdapat di Kolej Perindu seperti Dewan Serbaguna, tandas dan gelanggang futsal telah giat dijalankan. Mahasiswa juga telah dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan memandangkan aktiviti pada kali ini hanya dijalankan selama sehari, berbanding siri sebelumnya yang dijalankan selama dua hari. Di samping itu juga, amalan penjagaan kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan air dan sabun, turut dititikberatkan sepanjang aktiviti berlangsung bagi mengelakkan penyebaran penyakit berbahaya seperti penularan wabak COVID-19.

Perindu Smart Volunteerism 2.0

Melalui aktiviti ini juga, mahasiswa bukan sahaja dapat membudayakan nilai kerjasama dalam kumpulan, tetapi aktiviti ini juga mampu melahirkan insan yang berupaya mengeluarkan idea bernas, sekaligus mengenali persekitaran budaya masyarakat sekitar. Mahasiswa haruslah mempunyai nilai jasmani, emosi, rohani, intelek yang stabil merangkumi semua aspek generasi secara holistik dalam usaha membangunkan negara dan memperkasa generasi muda.

Semangat kesukarelawanan ini perlulah dipupuk pada peringkat awal dalam diri setiap mahasiswa. Hal ini kerana ianya merupakan proses pelajaran dan pembelajaran secara tidak formal selain usaha mematangkan diri mahasiswa. Hal ini juga secara tidak langsung dapat mempersiapkan mahasiswa untuk memacu kepimpinan, sekaligus dapat berbakti kepada negara pada masa hadapan.

Perindu Smart Volunteerism 2.0