Perbincangan Fakulti Pendidikan Bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) Bagi Memperkasakan Kualiti Latihan Mengajar Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP)

PUNCAK ALAM, 8 September 2023 – Fakulti Pendidikan telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS). Tujuan utama perbincangan tersebut adalah untuk memahami proses dan prosedur terkini bagi latihan mengajar di negeri Selangor disamping mengenalpasti beberapa peluang kolaborasi di antara pihak fakulti dan pihak JPNS pada masa hadapan. Praktikum (EDU666) adalah kursus wajib bagi pelajar ISMP Semester 7 di mana mereka harus menjalani latihan mengajar selama 12 minggu di beberapa buah sekolah menengah di sekitar negeri Selangor. Antara perkara penting yang telah dibincangkan termasuk permohonan permit mengajar dan peruntukan elaun mengajar.

Pada semester Oktober 2023 – Januari 2024 akan datang, seramai 327 orang pelajar fakulti dijangka akan memulakan latihan mengajar di sekolah. Beberapa cadangan penambahbaikan juga telah diberikan oleh pihak fakulti kepada pihak JPNS dalam usaha melancarkan proses dan prosedur latihan mengajar di negeri Selangor. Pihak fakulti juga amat berterima kasih kepada pihak JPNS atas kesudian mengadakan perbincangan tersebut di fakulti. Harapan fakulti adalah agar pelajar mendapat pengalaman yang terbaik sebagai guru pelatih sepanjang latihan mengajar dan mematuhi prosedur terkini yang telah diperjelaskan pihak JPNS.

Wakil daripada JPNS terdiri daripada Puan Kholishah bt Hasan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sub Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Puan Hajah Shamsul Bahriah bt Bahardin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Menengah dan Tingkatan 6, dan Encik Khairil Anuar bin Othman, Penolong Pengarah, Unit Perhubungan dan Pendaftaran. Wakil Fakulti Pendidikan pula diketuai oleh Dr. Hamimah Hashim, Timbalan Dekan Akademik, barisan Ketua Pusat Pengajian, Koordinator Program, barisan pensyarah serta staf pentadbiran.