DOKTOR MUDA APPRENTICE PROGRAM (DMAP) PERKUKUHKAN KOLABORASI STRATEGIK ANTARA FSK UITM DAN KOMUNITI SK TAMBAK JAWA JERAM

JERAM, 25 September 2023 – Pada 23 September 2023 baru-baru ini, pihak Jabatan Sains Asas Fakulti Sains Kesihatan UiTM Selangor telah menjalankan satu program yang dinamakan Doktor Muda Apprentice Program (DMAP) sempena Majlis Santunan Kasih dan lawatan kerja bersama YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa (SEKTAJ), Jeram, Selangor. Program DMAP yang diketuai oleh En Razif Dasiman, Pensyarah Kanan dari Jabatan Sains Asas, FSK UiTM ini merupakan satu inisiatif bagi mewujudkan platform pemindahan dan perkongsian ilmu berkaitan Sains Kesihatan, Asas Perubatan dan Pertolongan Cemas, Kesihatan Minda dan Kesukarelawanan bersama komuniti setempat dan juga warga sekolah. Fokus utama program DMAP ini adalah bagi memperkasa Kelab Doktor Muda Sekolah yang terdiri draipada murid-murid Tahap 2 yang akan menjadi duta DMAP di sekolah masing-masing yang berperanan sebagai agen pengembangan ilmu berkaitan Sains Kesihatan, Asas Perubatan dan Pertolongan Cemas, Kesihatan Minda dan Kesukarelawanan dalam kalangan mereka.

Doktor Muda Apprentice Program @SEKTAJ ini dilaksanakan dengan penyampaian beberapa siri modul, ceramah, aktiviti simulasi, pameran dan permainan minda kepada para peserta yang terlibat. Antaranya ialah pelaksanaan Modul First Aid in School (FAIS), Modul Adorable Mind (AM), Modul PEACE, simulasi luka dan rawatan, Brain Treasure, Blood Typing Games, Stress Management dan penyampaian Food Bank. Perjanjian Rakan Strategik DMAP@SEKTAJ juga telah dimeterai dan diserahkan kepada pihak sekolah melalui Guru Besar SEKTAJ, Tn Nor Mahali bin Mohammad Torman. Pelantikan Rakan Strategik DMAP ini juga melibatkan perkongsian kepakaran dalaman UiTM melalui kolaborasi bersama Prof Madya Dr Salmi Razali, dari Jabatan Psikiatrik Hospital As-Sultan Abdullah (HASA), Pn Fatimah Sham dari Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang UiTM Selangor, Dr Evana Kamarudin dari Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Pn Fatin Nadzirah dari Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan UiTM. Turut sama terlibat berkongsi ilmu DMAP ini adalah beberapa orang alumni dari Pusat Pengajian Dietetik, Pusat Pengajian Fisioterapi, Pusat Pengajian Pemulihan Carakerja Fakulti Sains Kesihatan dan juga alumni Fakulti Sains Gunaan UiTM. Terdapat juga beberapa agensi kerajaan yang terlibat menyantuni warga sekolah dengan reruai pemeran agensi masing-masing seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Selepas selesai lawatan kerja, pameran DMAP juga sempat dikunjungi oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia dan wakil DMAP@SEKTAJ telah menyerahkan Modul PEACE kepada YB Menteri Pendidikan dan juga guru besar sekolah sebagai simbolik kolaborasi Rakan Strategik sekolah dengan UiTM. Turut sama hadir memeriahkan reruai DMAP adalah YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mantan Menteri Kesihatan Malaysia.

Adapun, program DMAP ini merupakan salah satu program perintis bagi melatih kanak-kanak dalam kalangan murid sekolah rendah bagi menjadi duta DMAP di sekolah masing-masing yang berperanan sebagai agen pengembangan ilmu berkaitan Sains Kesihatan, Asas Perubatan dan Pertolongan Cemas, Kesihatan Minda dan Kesukarelawanan di sekolah. Pelaksanaan DMAP ini adalah bertepatan dengan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 2: Zero Hunger, SDG 3: Good Health and Wellbeing, SDG 4 Quality Education, SDG 16 Peace and String Institutions, serta SDG 17 Partnership for the Goals. Ini kerana melalui saranan SDG ini, Kerjasama dua hala dapat digembelingkan bagi memastikan penyampaian ilmu dapat disampaikan terus kepada masyarakat dan peranan murid-murid sekolah sebagai agen pengembangan ilmu dapat diperkasakan. Menurut Ketua Projek DMAP ini, program DMAP ini akan diperluaskan ke sekolah-sekolah yang dipilih dan akan melibatkan lebih ramai duta-duta kecil dalam kalangan murid sekolah agar ianya dapat mewujudkan jaringan Quadruple Helix yang terbaik antara pelbagai sektor dalam komuniti dan seterusnya menghasilkan symbiosis yang sangat menguntungkan semua pihak.