Penyiasat Cilik: Aplikasi Seni Kreatif di dalam Program Junior Scientist Day 2023

Selangor, 19 Disember 2023 –Kolaborasi Program Akademik Seni Gerak Kreatif (Creative Motion Design) dan Fotomedia Kreatif (Creative Photomedia), Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) dan Fakulti Perubatan membuktikan potensi rentas bidang di dalam memupuk minat di kalangan penyiasat cilik melalui program Junior Scientist 2023. Program dua hari ini dijalankan di Institute of Medical Molecular Biotechnology (IMMB), Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Sg. Buloh.

Berinspirasikan kisah penyiasatan jenayah, pelajar Program Akademik Seni Gerak Kreatif telah mereka set “digital large scale mapping” dan diorama bagi dua “crime scene” melalui naratif yang disediakan oleh pihak hospital. Manakala pelajar Program Akademik Fotomedia Kreatif di bawah kelolaan Puan Siti Fatulhana dan Puan Ts. Elyana Tan,  bertindak sebagai jurugambar forensik dan melalukan demonstrasi tersebut kepada peserta cilik yang hadir.

 

Menurut Ts. Nur Aniza Mohd Lazim, pensyarah kanan Program Akademik Seni Gerak Kreatif serta pensyarah utama projek, pendedahan awal seperti ini bukan sahaja membuka mata masyarakat umum berkenaan aplikasi seni kreatif di dalam dunia sebenar, malah membuktikan bahawa program akademik seni kreatif yang berbentuk futuristik ini juga menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi.

Program Akademik Seni Gerak Kreatif (Creative Motion Design) merupakan salah satu bidang di bawah gugusan Teknologi Kandungan Kreatif (Creative Content Technology) selain Animasi 2D, 3D dan Seni Reka Permainan Kreatif (Creative Game Design). CCT merupakan satu gugusan di bawah pengajian Seni Digital dan Imejan, berpusat di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Puncak Alam.