Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Akademi Pengajian Bahasa (APB)

Shah Alam, 12 Mei 2023 – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Akademi Pengajian Bahasa telah berlangsung dengan meriahnya di Perkarangan APB (Bangunan Korea) dengan mengekalkan tema raya UiTM iaitu Nostalgia Filem P. Ramlee bagi tahun 2023. Majlis ini telah dihadiri oleh para pelajar dan staf APB, pesara, alumni serta rakan-rakan kerjasama APB.

Sudah semestinya, pelbagai juadah raya seperti lemang, ketupat, rendang ayam dan kambing, nasi beriani serta mi kari yang menjadi menu utama dan pelbagai manisan seperti agar-agar, aiskrim Malaysia, kuih-muih dan aneka minuman sejuk yang menyegarkan disediakan oleh setiap jabatan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Lebih memeriahkan, majlis sambutan Hari Raya ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuklah Pertandingan Reruai Tercantik (10 reruai dipertandingkan) dan Pertandingan Busana Raya Tercantik bagi kategori perempuan dan lelaki. Selain itu, majlis turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian lagu Hari Raya daripada pelajar-pelajar APB.

Tahniah diucapkan kepada Jabatan Bahasa Inggeris (JBI) dan Jabatan Bahasa Asia dan Eropah (JBAE) kerana telah memenangi Tempat Pertama, diikuti Tempat Kedua yang dimenangi oleh Bahagian Pentadbiran APB dan Tempat Ketiga pula dimenangi oleh reruai Jabatan Pengajian Melayu (JPM)/ LG241. Manakala bagi Busana Raya Tercantik Kategori Lelaki telah dimenangi oleh En. Muhammad Akram Mohd Shariff (Staf Pentadbiran) dan bagi Kategori Perempuan pula dimenangi oleh Cik Fatin Nabilah Amir (Pelajar LG241).

Majlis sambutan raya APB tahun 2023 ini sesungguhnya telah melakar memori indah sekali lagi kerana telah menjadi tempat pertemuan semula dengan insan-insan yang pernah menjadi tulang belakang kejayaan dan kecemerlangan APB kini. Semoga majlis sambutan raya seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Unit Korporat
Akademi Pengajian Bahasa