Pensyarah Fakulti Pendidikan Terima Lantikan Profesor Tamu Universitas Negeri Yogyakarta (UNY)

Setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Madya Dr. Badrul Isa, pensyarah kanan Program Pendidikan Seni dan Senireka, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor. Prof. Madya Dr. Badrul Isa telah dilantik sebagai Profesor Tamu oleh Fakultas Bahasa dan Seni, Universitas Negeri Yogyakarta (UNY), Indonesia.

Prof. Madya Dr. Badrul telah diberikan tanggungjawab mengendalikan kuliah History of Modern Western Fine Arts (PSR6210) yang ditawarkan oleh Departemen Pendidikan Seni Halus untuk mahasiswa semester lima. Lantikan yang berkuatkuasa sehingga Februari 2021 ini melibatkan penyampaian kuliah setiap minggu selama satu semester.

Selain daripada memenuhi aktiviti memorandum persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani, lantikan ini mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua institusi. Fakultas Bahasa dan Seni UNY merupakan rakan kolaborasi Fakulti Pendidikan UiTM dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan bersama. Antaranya termasuklah International Symposium of Language and Arts Education (ISOLA) yang dianjurkan dua tahun sekali melibatkan penyertaan staf dan pelajar dari kedua-dua institusi ini.

Tahniah sekali lagi kepada Prof. Madya Dr. Badrul Isa di atas lantikan ini, sekaligus meletakkan nama Universiti Teknologi Mara di pentas global. Semoga terus mengharumkan nama Fakulti Pendidikan dan UiTM dan semoga terus mencapai kecemerlangan.