Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Research Interest Group Arabic Language Education (RIG ALE), UiTM Cawangan Perlis dan Research Interest Group Islamic Education & Human Development (RIG IEHDev), UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan sesi perkongsian yang bertajuk “Peningkatan Produktiviti Pensyarah Melalui Pendekatan Amalan Pengurusan Lean” pada 3 petang hingga 5 petang, 7 Januari 2022 menerusi Webex.
Webinar yang berlangsung selama 2 jam ini bertujuan untuk membantu pensyarah melaksanakan tugasan dengan lebih terancang dan mengurangkan tekanan tugasan pada saat-saat akhir untuk mencapai KPI universiti. Webinar ini juga bertujuan untuk membantu pensyarah merancang pengurusan kerja tahunan dengan lebih berkesan tanpa terlepas peluang menghasilkan penulisan akademik, karya ilmiah atau karya kreatif yang lain. Penceramah program iaitu Ts. Dr. Kamsidi @ Abd Malek B. Sidek yang merupakan pensyarah kanan di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah menceburi bidang Lean sejak tahun 2013 dan mempunyai pengetahuan yang amat menyeluruh dalam bidang ilmu pengurusan Lean.
Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan. Seramai 95 orang peserta telah menghadiri webinar ini dan 100% peserta menyatakan program ini memberi manfaat kepada kerjaya masing-masing. Ada peserta yang menyatakan bahawa bidang ilmu pengurusan lean ini merupakan suatu yang baru bagi mereka dan banyak ilmu baharu yang bermanfaat telah diperoleh dalam perkongsian ini. Ada juga beberapa cadangan yang meminta penganjur untuk melanjutkan masa webinar (2 jam tidak mencukupi) dan meneruskan siri webinar yang dapat meningkatkan produktiviti pensyarah lagi dengan siri berikutnya.