Webinar Pendidikan Pilihan Raya

Pengetahuan berkaitan Pilihan Raya di Malaysia merupakan ilmu yang harus dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia. Bagi merealisasikan matlamat ini, Kolej Kediaman Angsana & Casuarina UiTM Kampus Puncak Alam Bersama Akademi Pilihan Raya telah melaksanakan program webinar Pendidikan Pilihan Raya dalam kalangan mahasiswa dan Akademi Pilihan Raya Malaysia pada 5 Januari 2022. Menyedari keperluan pendedahan ilmu Pilihan Raya Malaysia ini, pihak Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Angsana & Casuarina UiTM Kampus Puncak Alam telah mengorak langkah dengan melaksanakan program yang melibatkan hampir 300 orang peserta dan program tersebut telah dijalankan menggunakan platform YouTube live dan Facebook Akademi Pilihan Raya.


Penolong Pengarah Pendidikan Pengundi Akademi Pilihan Raya, En Amar Soufwan berkata, program seumpama ini adalah  yang pertama kali dijalankan di peringkat IPTA yang dikendalikan oleh JPK Angsana dan Casuarina UiTM Kampus Puncak Alam. Taklimat program ini lebih menjurus kepada penerangan dan pemahaman kepada para mahasiswa berkaitan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya. Penerangan berkaitan penubuhan dan system tubuh SPR juga turut diberi kepada peserta. Proses kerja bagi menjalankan kajian semula persempadanan bahagian- bahagian pilihan raya, urusan pendaftaran pemilih secara automatik, menjalankan urusan pertukaran alamat pengundi, menjalankan Pilihan Raya Umum Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dan Pilihan Raya Kecil, proses Pilihan Raya, proses penamaan calon, merupakan antara fungsi kerja SPR.


Bagaimana proses undian dijalankan dan kerja-kerja persediaan tempat dan peralatan mengundi juga turut diberi penerangan dalam program tersebut bagi memberi gambaran yang jelas kepada para mahasiswa yang akan pertama kali mengundi agar mereka tidak gugup atau gusar semasa proses pengundian dilakukan nanti.
Sementara itu, menurut Timbalan Rektor HEP UCS, Profesor Madya Dr Badrul Isa, program seumpama ini amat memberi impak yang besar kepada pemahaman dan pendidikan pilihan raya kepada para mahasiswa yang mana pengundi yang layak mengundi adalah bermula dari peringkat umur 18 tahun dan ke atas.

Program seumpama ini akan dirancang untuk diteruskan dan diperluaskan kepada kampus-kampus cawangan UiTM. Menurutnya lagi, mahasiswa UiTM perlu sentiasa peka berkaitan proses perlembagaan, perundangan, sistem dan sebagainya agar tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyalurkan tuduhan atau maklumat palsu berkaitan SPR dan sistem pilihan raya Malaysia.

Soalan-soalan berkaitan proses pilihan raya yang diajukan oleh para perserta secara atas talian YouTube live ini juga turut dijawab secara terus oleh En Amar Soufwan selaku penyampai maklumat pilihan raya Malaysia dalam sesi tersebut.