Penilaian Akhir Diploma Seni Reka Prindustrian : Inovasi Terkini dalam Rekabentuk Produk bertemakan “Urban Agriculture”

Merbok, Kedah, 6 Februari 2024 – Seramai 13 orang pelajar semester 5 dalam jurusan Diploma Seni Reka Perindustrian di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kedah telah menghadapi penilaian akhir untuk kursus IDT316 (Rekabentuk Produk). Penilaian akhir ini bertujuan untuk menilai hasil kerja pelajar dalam reka bentuk produk bertemakan “Urban Agriculture” yang semakin penting dalam konteks kehidupan bandar masa kini.

Pensyarah yang bertanggungjawab dalam pengajaran kursus ini adalah En. Mohd Hamidi Adha Mohd Amin. Manakala penilai-penilai terdiri daripada En. Abu Hanifa Ab. Hamid, Pn. Juaini Jamaluddin, dan Dr. Nurul ‘Ayn Ahmad Sayuti =. Mereka menilai tahap pemahaman pelajar dalam mencari solusi dan rekabentuk yang meningkatkan tahap hidup pengguna di kawasan bandar.

Fokus utama penilaian adalah terhadap projek produk bertemakan Urban Agriculture yang direka oleh pelajar. Sebanyak 13 produk dihasilkan dengan pelbagai rekabentuk yang menarik, menggunakan konsep hidroponik dan aquaponik sebagai asas kajian dan inspirase mereka. Produk-produk ini dihasilkan dengan mengambil kira keperluan dan cabaran dalam konteks pertanian bandar yang semakin berkembang.

 

 

Selain daripada menghasilkan produk, pelajar juga diuji dalam kemampuan membentangkan kajian dan rekabentuk kepada panel penilai. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dalam mengemukakan idea dan konsep produk mereka. Melalui proses ini, mereka dapat menunjukkan pemahaman yang mendalam terhadap isu-isu berkaitan dengan pertanian bandar serta keupayaan untuk mencari penyelesaian yang inovatif.

Dalam laporan penilaian ini, kesemua pelajar diberikan peluang untuk menonjolkan keunikan dan kebolehan mereka dalam menerapkan prinsip seni reka dalam konteks praktikal. Secara keseluruhannya, program penilaian akhir semester ini telah memberikan platform yang bermakna bagi pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh selama pengajian mereka.